NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dun Ladang : Majoriti 20 kali ganda mampu dikekalkan

KUALA TERENGGANU: Majoriti yang diperolehi PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang berdasarkan undian parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu adalah 20 kali ganda berbanding PRU sebelum itu.

Sehubungan itu, mantan Adun Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, beliau tidak nampak para pengundi tidak boleh meneruskan sokongan kepada calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN), Zuraida Md Noor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini

Beliau yang mula menjadi Adun Ladang pada PRU 2008 berjaya mengekalkan kemenangan pada dua PRU selepas itu.

“Sokongan kalau kita tengok sedikit daripada sejarah saya ambil alih 2008, 2013, 2018 telah menang tiga kali dan kemenangan itu adalah kemenangan yang sangat manis,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Begitupun, jelasnya majoriti yang diperolehi PAS berdasarkan undi parlimen pada PRU15 lalu meningkat hampir 20 kali ganda.

“Pada pilihan raya baru-baru ini, kalau kita ambil (Dun) Ladang khususnya, kita menang hampir 20 kali ganda daripada 300 undi kepada 7,000 undi majoriti dan saya rasa yang sangat memberangsangkan.

“Saya tidak nampak sebab mengapa pengundi-pengundi di sini tidak boleh meneruskan sokongan mereka kepada calon daripada parti yang kita dukung bersama di bawah PERIKATAN NASIONAL, insya-Allah,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri.

Untuk rekod, beliau memenangi PRU 2008 dengan majoriti 31 undi, PRU 2013 (924 undi) dan PRU 2018 (363 undi).

Mengenai pentadbiran negeri, Tengku Hassan berkata, semua Exco kerajaan negeri bersama dengan Menteri Besar telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Jadi saya bersama-sama dengan sahabat Exco bersama dengan Menteri Besar rasanya kita telah buat sebaik mungkin, kerjasama yang sangat baik sehingga kita dapat membentuk team yang mantap untuk mentadbir Terengganu.

“Hasil daripada itu alhamdulillah, sokongan itu termasuk pentadbir, pegawai dan sebagainya kita telah dapat memastikan bahawa apa yang telah kita janji kita laksanakan.

“Insya-Allah kita teruskan lagi melaksanakan perkara-perkara yang belum kita lakukan,” ujarnya lagi.

Bagi Dun Ladang, beliau berkata telah banyak kebajikan dilaksanakan untuk rakyat dan ia bukan rahsia lagi.

“Memang kita telah buktikan melaksanakan banyak kebajikan untuk rakyat terutamanya.

“Kalau kita ambil Dun Ladang khususnya memang bukan rahsia lagi bahawa kita sememangnya sangat membuat kebajikan dan cepat memberi bantuan kepada semua orang yang kita perlu bantu.

“Insya-Allah, ini akan diteruskan oleh calon kita yang akan bertanding dan akan menang pada pilihan raya akan datang ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada para pengundi seluruh negeri amnya dan Dun Ladang khususnya supaya mengekalkan kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Jadi saya mengharapkan sangat-sangat supaya semua masyarakat dan pengundi-pengundi di Dun Ladang ini memberi sokongan padu kepada calon kita,” katanya. 

– HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo