MUAR: Seorang bapa yang tergamak merogol anaknya sehingga hamil dan melahirkan anak sejak 2020 dihukum penjara selama 218 tahun dan 75 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim, Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh yang berusia 41 tahun itu selepas dia mengaku bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan merogol dan satu amang seksual terhadap anak kandungnya.
Sebelum membuat keputusan itu, Abu Bakar turut menegur perbuatan terkutuk tertuduh yang bekerja sebagai buruh kampung.
“Kamu tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah kepada kamu sebagai ayah. Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun ketika waktu malam pada 2020.
Selepas itu, pada Oktober tahun yang sama, tertuduh telah merogol mangsa dan kejadian terakhir pukul 8 pagi, 5 Jun lalu.
Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya memberitahu, tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol, namun gagal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan kejadian terbongkar selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mendapati perubahan fizikal pada tubuh mangsa yang tidak mengetahui dirinya mengandung.
Tertuduh kali pertama didakwa pada 14 Jun lalu di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.
Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.
Bagi kesalahan merogol, beliau menjatuhkan hukuman maksimum, iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan bagi setiap pertuduhan, manakala bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan, manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 8 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN
No comments
Post a Comment