NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dinding kaca Pejabat Agung PAS pecah dibaling batu, lelaki bermotosikal diburu

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dikesan pihak polis susulan bertindak membaling batu sehingga menyebabkan kerosakan pada Pejabat Agung Pas di ibu negara, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, semakan televisyen litar tertutup akan dilakukan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang menunggang motosikal telah membuat bising dan disedari pengawal bangunan tersebut.

“Lelaki itu bertindak membaling batu ke cermin pintu Pejabat Agung Pas,” katanya dalam sidang akbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Kata Razarudin, ketika ini suspek perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut dilakukan.

“Insya-Allah, siasatan dilakukan Polis Kuala Lumpur dalam masa terdekat dan akan menjurus kepada suspek yang kita kehendaki.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat,” jelasnya

Terdahulu, Pas menerusi Facebook rasminya melaporkan dinding kaca salah sebuah pejabat parti itu di ibu negara, telah dipecahkan oleh individu tidak dikenali.

Menurut hantaran itu, kejadian tersebut berlaku pada awal pagi hari ini sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN). – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo