PUTRAJAYA: Dewan Ulama PAS mendakwa isu kenyataan yang dibuat seorang penceramah bebas di Kedah baru-baru ini sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama.

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahya, berkata justeru, isu berkenaan tidak wajar dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.

"Perdana Menteri turut menyentuh hal itu yang mana kami disifatkan (beliau) telah jauh ketinggalan maklumat, bahkan dilihat cuba menjadikan isu itu sebagai mainan dan kempen politik.

"Isu dibangkitkan oleh Anwar ketika program korban di Permatang Pauh itu hakikatnya telah pun diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata Dewan Ulama PAS Pusat berpendirian tidak sewajarnya sesetengah pihak bertindak keterlaluan terhadap pendakwah berkenaan, Sheikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli atas isu salah tafsir doa beliau ketika satu program berselawat di Kedah.

"Doa itu telah ditafsirkan pihak tertentu dalam konteks lapangan politik yang menuduh ia bersifat politik, sedangkan tohmahan mereka itulah sebenarnya mempolitikkan keadaan.

"Sepatutnya pihak yang berada dalam keadaan 'cacing kepanasan' itu mengambil ibrah terhadap ucapan penuh yang disampaikan Syeikh Muhd Zainul. Pelbagai nasihat, panduan serta motivasi lain yang diketengahkan oleh beliau tetapi tidak diambil berat pun," katanya.

Beliau berkata, konteks 'musuh Allah' itu juga mempunyai tafsiran tersendiri khusus bagi persejarahan negeri Kedah.

"Kehadiran musuh-musuh ini telah memporak-perandakan keamanan serta kemakmuran tamadun sejarah yang dilakar di bawah Kerajaan Kedah Tua dahulu kala.

"Doa Syeikh Zainul itu menjurus supaya Allah SWT memberi perlindungan kepada negeri ini (Kedah) daripada diracik oleh musuh-Nya," katanya.

Ahmad berkata Dewan Ulama PAS mengharapkan keadilan buat Muhd Zainul, selain menghormati proses siasatan pihak berkuasa terhadap pendakwah itu.

Semalam, Perdana Menteri meminta penjelasan Dewan Ulama PAS berkaitan persoalan yang dinyatakan oleh pendakwah bebas itu termasuk Nabi Adam turun di Gunung Jerai, Kedah dan Saidina Uthman Affan pernah sampai ke Kedah.

Anwar juga mempersoalkan kenyataan agamawan PAS yang mendakwa ada masjid di Pulau Pinang dijadikan tokong dan apakah benar orang yang tidak bersama PAS dikatakan musuh Allah.

Beliau berkata, ulama PAS sepatutnya perlu memberi teguran kemudian memperbetulkan kesilapan terhadap apa jua kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan umat.