UMNO merampas banyak kerusi yang sebelum ini ditandingi parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Media melaporkan beberapa kerusi sebelum ini yang disandang wakil PH terlepas kepada UMNO dan lebih mengecewakan ia diumumkan secara tergesa-gesa walaupun rundingan bagi beberapa kerusi tersebut masih belum muktamad.
Pemimpin PH hanya mengetahui kerusi yang masih dirundingi terlepas kepada UMNO sebaik pengumuman calon oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Pada Jumaat lalu, UMNO mengumumkan semua 108 calonnya yang akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 12 Ogos ini.
Jumlah kerusi yang ditandingi UMNO adalah yang terbanyak berbanding parti-parti komponen lain dalam gabungan kerajaan campuran sekarang.
Paling banyak kerusi ditandingi UMNO adalah di Terengganu dan Kelantan.
Di Selangor, UMNO merampas dua kerusi yang sebelum ini disandang wakil rakyat daripada DAP dan Parti Amanah di kerusi DUN Dusun Tua dan Gombak Setia.
Akar umbi DAP di Dusun Tua difahamkan kecewa dengan tindakan PH melepaskan kerusi yang disandang wakil mereka kepada UMNO, ia termasuk juga penyokong di Gombak Setia.
Di Negeri Sembilan, UMNO juga merampas kerusi DUN Lenggeng yang sebelum ini disandang wakil Parti Amanah.
Di Pulau Pinang, kerusi DUN Sungai Acheh yang sebelum ini ditandingi wakil PKR juga dirampas UMNO.
Sementara itu di Terengganu, kerusi Parti Amanah di DUN Tepuh juga dirampas UMNO walaupun semasa rundingan sudah dipersetujui ia akan diberikan kepada parti komponen PH tersebut.
Menurut sumber, akar umbi PH mula meluahkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan UMNO yang dilihat berani melanggar keputusan rundingan yang sudah dimuktamadkan sebelum ini.
Ia juga secara tidak langsung menimbulkan persoalan sejauh mana UMNO menghormati PH sebagai rakan dalam gabungan kerajaan campuran ketika ini.
“Nampaknya UMNO lebih berkuasa daripada parti komponen dalam PH, tindakan Anwar yang dilihat takut kepada anak muridnya, Zahid juga mengecewakan.
“Anwar tahu tidak boleh terlalu keras dengan Zahid kerana tidak mahu sokongan UMNO kepadanya,” kata sumber yang juga pemimpin kanan dalam PH.
Senario yang dihadapi ini dalam isu pembahagian kerusi juga adalah bukti jelas UMNO tidak boleh dipercayai dan boleh diharapkan menjadi rakan kerjasama untuk tempoh yang lama kerana ia akan menyebabkan perpecahan dalaman PH pula nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
PRN 2023 ini membabitkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment