NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bursa Malaysia ditutup rendah, jumlah dagangan merosot



Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur dengan pasaran Amerika Syarikat (AS) ditutup sempena cuti Hari Kemerdekaan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.40 mata atau 0.24 peratus kepada 1,392.49 daripada 1,395.89 pada Isnin, menurut laporan Bernama.

Indeks utama dibuka rendah 2.33 mata kepada 1,393.56 pagi ini dan bergerak antara 1,388.85 dan 1,396.33 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, suasana pasaran positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 408 berbanding 388 manakala 421 kaunter tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.60 bilion unit bernilai RM1.57 bilion daripada 2.61 bilion unit bernilai RM1.50 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup rendah berikutan belian saham berkaitan komoditi dan sokongan untuk kaunter perbankan wujud pada sesi petang.

“Pasaran serantau utama ditutup bercampur-campur dengan aktiviti pengambilan untung di beberapa bursa berikutan kenaikan yang kukuh semalam.

“Sementara itu, China dan Hong Kong positif berikutan hubungan geopolitik yang lebih baik antara AS dan China, susulan Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen akan mengunjungi Beijing dari 6-9 Julai untuk rundingan diplomatik,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Thong percaya sentimen pelabur akan kekal stabil berikutan konsensus menjangka Kadar Dasar Semalaman akan kekal tidak berubah pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia yang akan datang yang dijadualkan pada 5-6 Julai.

“Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,390-1,405 pada sepanjang minggu ini, dengan paras halangan segera pada 1,400 dan paras sokongan pada 1,373,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB meningkat empat sen kepada RM5.20, Tenaga Nasional menambah tiga sen kepada RM9.13, Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing merosot lima sen kepada RM8.70 dan RM5.83 dan Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM3.91.

Daripada saham aktif, Naim Holdings melonjak 24 sen kepada 88.5 sen, Farm Fresh susut lima sen kepada RM1.14, KNM berkurangan satu sen kepada lapan sen manakala Fitters Diversified dan Sarawak Consolidated, masing-masing tidak berubah pada empat sen dan 47 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 13.73 mata kepada 10,258.82, Indeks FBMT 100 merosot 18.50 mata kepada 9,955.80, Indeks FBM Emas Shariah susut 4.50 mata kepada 10,530.38, Indeks FBM ACE jatuh 20.71 mata kepada 5,094.87 dan Indeks FBM 70 berkurangan 0.53 mata kepada 13,531.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 34.91 mata kepada 15,483.17, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.10 mata kepada 158.80, Indeks Tenaga naik 4.27 mata kepada 792.41 dan Indeks Perladangan meningkat 2.26 mata kepada 6,829.74.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.90 bilion unit bernilai RM1.33 bilion daripada 1.80 bilion unit bernilai RM1.26 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 269.65 juta unit bernilai RM43.63 juta daripada 333.22 juta unit bernilai RM60.90 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 429.28 juta saham bernilai RM193.23 juta daripada 483.43 juta saham bernilai RM179.48 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 417.34 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (534.08 juta); pembinaan (115.91 juta); teknologi (154.31 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (43.00 juta); hartanah (256.49 juta); perladangan (31.96 juta); REIT (4.54 juta), dana tertutup (35,200); tenaga (176.70 juta); penjagaan kesihatan (56.88 juta); telekomunikasi dan media (28.13 juta); pengangkutan dan logistik (38.26 juta) dan utiliti (43.85 juta).


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo