NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bukan kali pertama The 1975 bertindak biadab

AYER KEROH: Kerajaan sepatutnya boleh menjangkakan kumpulan The 1975 bakal menimbulkan masalah dalam persembahan kerana ini bukan kali pertama mereka bertindak biadab.

Justeru, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, kerajaan sewajarnya mengambil pertimbangan tersebut semasa meluluskan konsert tersebut sebelum ini.

“Sepatutnya pihak kerajaan perlu lebih cermat sebelum meluluskan sebarang penganjuran konsert kerana ini bukan kali pertama ‘The 1975’ melakukan perbuatan terkutuk, kerana hal sama berlaku semasa konsert mereka di Dubai.

“Hanya selepas kontroversi timbul barulah menteri berkaitan muncul merupakan perbuatan ‘sudah terhantuk baru tengadah’, walhal ianya boleh dicegah dari awal lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Yadzil yang juga ADUN Bemban berkata, PN merupakan sebuah parti yang sentiasa komited dalam mempertahankan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara, di mana Kesopanan dan Kesusilaan merupakan salah satu daripada terasnya.

Tambahnya, dalam hal ini, PN Melaka mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kelakuan biadab kumpulan ‘The 1975’ dalam konsert di Good Vibes Festival di Sepang, malam tadi.

Katanya, kumpulan itu bukan sahaja menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tetapi melakukan perkara terkutuk semasa persembahan berlangsung.

“Bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, kerajaan perlu tegas dengan mengharamkan mana-mana artis yang mendukung amalan LGBT daripada membuat konsert di negara ini.

“Cukup-cukuplah memberikan mesej yang salah kepada rakyat,” kata beliau.

Vokalis kumpulan The 1975 Matty Healy semasa persembahan itu dikatakan memegang botol arak di atas pentas selain berkelakuan jijik dan mengeluarkan ucapan yang menghina undang-undang Malaysia berkaitan dengan LGBT. – HARAKAHDAILY 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo