NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN dan Amanah bakal bertembung DUN Lenggeng,

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) mengumumkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng di sini akan ditandingi oleh parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memberitahu perkara itu sewaktu berucap pada majlis Jelajah DUN PRN Negeri Sembilan DUN Lenggeng di Taman Ampangan di sini semalam.

“Saya mahu ucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih  yang pertama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, iaitu Presiden UMNO dan Pengerusi BN dan paling penting kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

“Ia untuk kita setuju bagi kebangkitan dan juga bagi tunjukkan solidariti Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan maka PH bersetuju untuk beri kerusi DUN Lenggeng kepada BN,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Cabang PKR Seremban, Datuk Muhammad Nazri Kassim.

Tambah Jalaluddin, beliau menghargai pengorbanan PH untuk memberikan kerusi DUN Lenggeng bagi ditandingi BN meskipun sebelum ini kerusi berkenaan dimenangi oleh PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ini bukan mudah, ini kerusi yang mereka (PH) menang,dan kalau kita pun bukan mudah untuk buat keputusan, walaupun saya minta dua, bukan mudah untuk mereka beri kerusi kepad parti yang lain.

“Tetapi oleh kerana semangat rakan kerjasama dan Kerajaan Perpaduan maka mereka korbankan satu kepada UMNO Seremban dan saya mahu minta UMNO dan BN Seremban buktikan bahawa pengorbanan mereka itu dapat kita sumbangkan satu kerusi untuk tubuhkan kerajaan negeri,” katanya lagi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kerusi DUN Lenggeng yang sebelum ini dimenangi oleh PH difahamkan akan ditandingi oleh calon dari BN pada PRN akan datang.

Keputusan memberikan laluan kepada calon BN itu adalah hasil rundingan akhir pembahagian kerusi yang diadakan di antara kedua parti berkenaan yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Menurut sumber, keputusan berkenaan sekali gus menyaksikan BN memperoleh satu kerusi tambahan daripada 16 kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

“Ia menjadikan PH akan bertanding 19 kerusi DUN manakala BN bertanding di 17 kerusi termasuk Lenggeng daripada 36 buah kerusi DUN keseluruhan di negeri ini,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman menerusi kenyataan semalam memberitahu bahawa parti itu kekal bertanding di tiga buah kerusi DUN mewakili PH dan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan pada PRN bulan hadapan iaitu Klawang, Lenggeng dan Paroi.

Jelas beliau, perkara itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah yang terkini yang mengambil kira faktor incumbent (penyandang jawatan) selepas parti itu memenangi ketiga-tiga kerusi berkenaan pada PRU14 lalu.

“Secara keseluruhan, Amanah Negeri Sembilan telah berjaya menjadi rakan politik terbaik dalam memastikan agenda kerajaan PH Negeri Sembilan berjaya dilaksanakan dengan baik.

“Amanah Negeri Sembilan ingin menegaskan bahawa tidak ada sebarang perbincangan dan keputusan mengenai penyerahan DUN Lenggeng kepada BN seperti mana yang tular dalam media sosial baru-baru ini,” katanya.

DUN Lenggeng yang terletak di bawah Parlimen Seremban telah dimenangi PH pada PRU14 lalu yang diwakili oleh calon Amanah, Suhaimi Kassim.-UTUSAN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo