KUBANG PASU: Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengesahkan Prof Dr Haim Hilman Abdullah, 50, sebagai calon PERIKATAN NASIONAL (PN) di DUN Jitra.

Beliau berdepan Sabrina Ahmad, 45 yang mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Keputusan pencalonan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRN bagi DUN tersebut pada jam 10.20 pagi di Pusat Penamaan Calon Dewan Tunku Anum, Pejabat Daerah Kubang Pasu hari ini.

Proses penamaan calon berjalan lancar dengan kawalan ketat Polis Diraja Malaysia sepanjang proses penamaan calon.

Dr Haim atau lebih mesra disapa sebagai Prof Haim sebelum ini berkhidmat sebagai Naib Canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.45 pagi bersama penyokong PN yang berhimpun di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jitra.

DUN Jitra sebelum ini disandang Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

Di DUN Bukit Kayu Hitam pula, calon PN diwakili Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berdepan Zainol Abidin Mohamad dari PH-BN. 

– HARAKAHDAILY