NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beca warisan tarikan baharu di Terengganu - Ahmad Samsuri

Beca Warisan di Payang Walk.


KUALA TERENGGANU - Operasi Beca Warisan dan Payang Walk di sini bakal menjadi tarikan baharu kepada sektor pelancongan di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, produk baharu yang diperkenalkan kerajaan negeri itu merupakan hasil cetusan idea berdasarkan tarikan pelancongan di Melaka, namun ditambah baik dari beberapa aspek untuk memberi manfaat kepada pihak terlibat.

Menurutnya, produk pelancongan baharu itu bertujuan membantu menambah pendapatan golongan pengayuh beca dan peniaga kecil di sekitar Kuala Terengganu.

"Ia merupakan produk baharu dan kita belajar daripada rakan kita di negeri Melaka. Buat masa ini, terdapat 12 beca yang telah selesai dinaik taraf supaya lebih moden dan selesa, manakala empat lagi beca dalam proses ubah suai sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang beroperasi nanti sebanyak 16 beca.

"Saya sudah maklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman untuk menambah lagi 10 beca sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperuntukkan sebanyak RM15,000 bagi setiap beca," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di sini pada malam, Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, terdapat 100 peniaga diberi peluang berniaga di Payang Walk buat masa ini.

Tambahnya, jumlah berkenaan akan ditambah sehingga maksimum 400 orang jika mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.

Sementara itu, Ariffin memaklumkan tarikan baharu itu secara tidak langsung dapat meningkatkan imej Kuala Terengganu sebagai bandar raya warisan pesisir air dengan mengekalkan kebudayaan tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat di Terengganu.

"Program ini mempunyai beberapa segmen utama iaitu aktiviti jualan barangan tempatan, jualan makanan tradisional serta persembahan kebudayaan dan kesenian seperti rodat, wayang kulit dan dikir barat.

"Selain itu, Payang Walk juga akan memberi peluang kepada pelancong menaiki beca warisan dengan harga berpatutan melalui beberapa pakej jarak laluan khas beca yang diperkenalkan," jelasnya.


Sumber I Sinar Harian 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo