Merasai suasana majlis baiah calon-calon PAS pada tahun 2018 dahulu membuatkan hati ini merasa amat yakin dengan calon-calon yang PAS kemukakan. Ketika itu, hanya PAS bertanding, tiada gabungan dengan mana-mana parti lain.
Calon-calon hadir membawa bersama ahli keluarga mereka bagi menunjukkan yang majlis ini amat penting bagi mengikat calon-calon dengan kesetiaan kepada Allah, kerana PAS parti yang berasaskan Islam sebagai tunjang.
Seorang demi seorang, nama mereka dipanggil, tampil ke depan bagi melafazkan baiah mereka. Lafaz dituturkan di hadapan Presiden PAS, disaksikan oleh Pesuruhjaya PAS, AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu serta semua yang hadir mendengarnya dengan jelas. Akhirnya Presiden PAS juga berbaiah sebagai calon Parlimen di hadapan PJ.
Dengan bersumpah atas nama Allah, mereka berjanji akan melaksanakan amanah yang diberikan dan akan menerima laknat dari Allah jika berkhianat. Oleh itu mereka yang berpaling dari perjuangan ini, merasa serba salah apabila lari. Mereka akan mencipta alasan bagi menghalalkan perbuatan khianat mereka itu.
Setelah itu calon berkempen dan berjanji untuk berbuat itu dan ini. Ditetapkan oleh PAS Terengganu, sebanyak 20 manifesto telah dijanjikan kepada rakyat dalam rangka memberikan rakyat Terengganu kehidupan yang lebih maju, keberkatan daripada Allah keatas hasil negeri bagi kesejahteraan semua.
Mereka menang dengan takdir Allah. Menang yang besar, mengalahkan musuh yang sudah dibenci oleh rakyat. Maka bermulalah kerja-kerja bagi menunaikan janji-janji yang telah dilafazkan kepada rakyat. Ia tidak semudah yang diucap, ia satu beban yang berat. Amat berat. Ia datang bersama fitnah.
Namun, dek kerana janji itu diberikan kepada rakyat bersama dengan baiah kepada Allah, maka ia menjadi ringan kerana bantuan Allah. Amanah itu terus dipikul, satu demi satu dikendong dan diletakkan ke tempat yang sepatutnya. Daripada 20 janji itu, semuanya telah dilaksanakan dan sedang berjalan.
Nun, di sebelah sana, mereka juga berjanji, dengan berbagai janji yang menggunung. Ramai rakyat meyakini akan kata-kata mereka. Malang sekali, kerana asas janji itu bukan kerana Allah, dikata mereka janji-janji ini, bukan kitab suci. Maka, dipungkirilah segala janji mereka. Dirobohkan segala harapan rakyat yang menanti. Mereka tidak menghadirkan tuhan dalam lafaz janji.
Inilah bezanya mereka dengan PAS. PAS mengikat diri dengan Allah. Segala langkah, segala kata, segala amanah yang dilaksana, akan dibayangi betapa seksa balasan Allah, pasti terkena kepada yang berkhianat dengan lafaz yang mereka sendiri ucapkan.
Kini, pilihanraya datang kembali. Semua calon PAS di enam buah negeri akan terus berbaiah dengan nama Allah, bagi menyatakan kesediaan menghadapi hukuman Allah demi melaksanakan tugasan yang terpikul di pundak mereka. Apakah jaminan yang lebih hebat daripada ini, jika kita dari kalangan orang yang mempercayai Allah?
Allah melihat semua perkara. Oleh itu, bersumpah atas namaNya, adalah satu isyarat yang kita sebagai manusia telah menyerahkan segalanya kepada Allah kerana Dia maha melihat. Dengan itu, wakil rakyat PAS pasti akan melaksanakan semua ini dengan cara terbaik kepada rakyat, sambil tidak menafikan yang manusia juga mungkin boleh melakukan kesilapan.
Kami dari PAS takut kepada Allah dan tidak akan mempermainkan Allah dengan sumpah kami. Inilah keyakinan dan jaminan kami kepada rakyat. Kerana itu, kedengkian musuh jelas atas baiah kami ini. Mereka mempersendakan dan memperlekehkan baiah kami dengan Allah. Dalam masa yang sama, mereka hanya menandatangani surat akujanji, sesama manusia, hanya dengan ugutan wang jutaan ringgit, tiada Allah.
Mohd Nasir Abdullah
27 Julai 2023
No comments
Post a Comment