NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar ikrar jadikan Tun M tidak relevan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mempersoalkan mengapa sentimen perkauman masih terus diuar-uarkan pada zaman ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim enggan mengulas dakwaan oleh Dr Mahathir Mohamad berkenaan negara berbilang kaum, malah menganggap kenyataannya itu satu usaha terdesak terakhir untuk kekal relevan.

“Bekas perdana menteri itu hilang depositnya di Langkawi. Sudah pasti (isu itu) digunakan sebagai usaha akhir dan terdesak untuk kekal dilihat sebagai relevan.

“Saya akan menjadikannya tidak relevan. Saya tidak akan mengulas mengenainya,” katanya ketika sesi soal jawab dalam Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia.

Mahathir baru-baru ini berkata mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sesi soal jawab, bekas presiden Majlis Peguam Christopher Leong menyoal sama ada dakwaan Mahathir itu mempunyai kesan terhadap Malaysia dan rakyat negara ini.

Anwar berkata beliau akan menggunakan semua kuasa dan sumber yang ada padanya untuk menangani keadaan itu dan menjawab dakwaan Mahathir itu.

“Jika kita gagal dalam naratif atau perbincangan ini, maka kita gagal sebagai sebuah negara. Tetapi saya rasa kebanyakan kita perlu memegang pendirian bahawa perlembagaan amat jelas mengenai kedudukan orang Melayu.

“Perlembagaan juga jelas melindungi kebajikan semua rakyat negara ini. Dan masa depan adalah untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sentimen perkauman terus diuar-uarkan pada zaman ini.

“Saya tidak faham kenapa pada 2023 kita masih dengan (isu) ini. Kita bukan bercakap mengenai pentadbiran, kemajuan ekonomi, atau teknologi digital, (sebaliknya persoalan seperti) negara ini milik siapa – Melayu, Cina atau Kristian.”


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo