PETALING JAYA: Keputusan Kerajaan Perpaduan melantik Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda yang baharu disifatkan sebagai satu tindakan yang mengecewakan.
Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Datuk Mazlan Aliman berkata, ini kerana kerajaan masih mengekalkan ‘orang luar’ untuk menjaga kepentingan warga Felda dan agensi itu yang ditubuhkan pada tahun 1956 serta mempunyai 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan.
Beliau berkata, tragedi hitam khususnya 10 tahun kebelakangan ini yang mengakibatkan sisi gelap Felda, penyalahgunaan kuasa dan korupsi juga seperti tidak dijadikan iktibar.
Malah, katanya, desakan berterusan agar cerdik pandai dan aktivis Generasi Baharu Felda diberi peluang dan kepercayaan menerajui Felda juga seperti tidak dihargai.
“Sejak kecil dan membesar dalam persekitaran Felda dan bersama denyut nadi para peneroka; menyaksikan sendiri aset Felda dijarah hingga lesap dan berhutang bilion ringgit, sampai bilakah kesudahannya?
“Saya dan beberapa aktivis Ngo Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) masih ingat dijemput bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar Ogos atau September 2018.
“Masih terngiang antara ungkapan beliau mengenai Pengerusi Felda yang dilantik di bawah Kementerian Ekonomi yang diterajui Datuk Seri Azmin Ali. DSAI (Anwar) meluahkan rasa tidak senang, melahirkan harapan dan janjinya kepada saya dan rakan rakan jika terpilih sebagai PM suatu hari nanti.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini adalah Perdana Menteri. Namun, episod duka 2018 berulang kembali! Apakan daya, ia pilihan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mazlan, meskipun kenyataan kerajaan komited untuk menstruktur semula pinjaman Felda yang sedikit sebanyak mengubat duka, namun hati warganya tetap luka dengan keputusan pelantikan itu.
“Apa pun, selamat melaksanakan amanah buat Pengerusi Felda yang baharu. Moga dipermudahkan,” ujarnya. – UTUSAN
No comments
Post a Comment