NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akaun intip jet peribadi Elon Musk berpindah ke Threads

WASHINGTON – Sebuah akaun Twitter yang digantung kerana memaparkan maklumat pergerakan jet peribadi milik bilionair, Elon Musk kini dibuka di platform media sosial baru dilancarkan, Threads, lapor akhbar Metro UK semalam.

Akaun Twitter @elonjet dikendalikan oleh seorang pelajar kolej bernama Jack Sweeney dan sejak 2020, ia memuat naik kemas kini mengenai jet peribadi Musk.

Ia bagaimanapun digantung daripada Twitter selepas Sweeney menolak tawaran  Musk yang mahu membayar wang  AS$5,000 (RM23,311) supaya dia memadamkan akaun tersebut.

Khamis lalu, Sweeney memuat naik hantaran pertamanya di Threads di bawah akaun @elonmusksjet.

“ElonJet telah tiba di Threads!” katanya dalam hantaran tersebut yang sehingga kini menerima lebih 8,500 tanda suka dan lebih 200 komen.

Sweeney bahkan turut menyebut nama Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg dengan bertanya sama ada platform milik syarikat itu membenarkan dia melakukan aktiviti serupa di Threads.

Selain Musk, Sweeney turut mengendalikan akaun yang mengesan jet peribadi Zuckerberg menerusi akaun @zuckerbergjet.

Ketika berada di sekolah menengah, Sweeney telah menghasilkan hampir 14 akaun bot yang menggunakan maklumat penerbangan daripada domain awam bagi mengesan laluan pesawat Musk serta beberapa bilionair lain termasuk Bill Gates dan Jeff Bezos.

Dengan menggunakan data yang boleh dilihat secara umum, akaun tersebut secara automatik memuat naik ciapan setiap kali jet Musk berlepas atau mendarat.

Sebelum Musk menggantung akaun itu dengan alasan faktor keselamatan, ia telah melepasi angka 198,000 pengikut. – Agensi 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo