NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

AirAsia tak akan wujud tanpa Pahamin – Tony Fernandes

PETALING JAYA: “AirAsia tidak akan wujud tanpa Datuk Pahamin (Rajab)”.

Demikian kata Pengasas syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes yang merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang juga bekas Pengerusi AirAsia.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di dalam pesawat ketika menuju ke United Kingdom (UK) malam tadi.

Menurut Tony, berita pemergian bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu adalah suatu yang menyedihkan sambil menyifatkan Pahamin adalah seorang daripada Pengasas Bersama AirAsia yang asal.

“(Pahamin) adalah rakyat Malaysia yang hebat, seorang patriot sejati dan sahabat terbaik.

“Walaupun kami tidak lagi kerap bertemu, beliau sentiasa berhubung dan penyokong yang hebat,” katanya di laman sosial Instagram miliknya, hari ini.

Menurut Tony, pihaknya akan mengadakan penghormatan bersesuaian kepada Pahamin.

“Berehat dengan tenang wahai sahabat.

“Ingatan terhadapnya akan diteruskan di dalam diri cucunya, Kasih Iris Leona yang ‘bapak borek, anak rintik’ dan akan membawa AirAsia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, menantunya, Azhar Sulaiman memaklumkan bahawa Pahamin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, awal pagi ini.

Menurutnya, Pahamin, 77, pergi ke London untuk menghadiri hari graduasi anak lelakinya.

“Dukacita saya nak maklumkan bapa mentua saya Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.

“Dia baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan dan sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya ada kat London,” katanya.

Turut merakam ucapan takziah di atas pemergian Pahamin adalah seorang lagi Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamaruddin Meranun yang menyifatkan Allahyarham seperti seorang ayah, abang dan sahabat.

“Jenazah Allahyarham masih berada di London dan urusan seterusnya akan dimaklumkan kelak insya-Allah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo