PETALING JAYA – Penjualan air dalam akuarium yang pernah tular pada bulan Ramadan lalu adalah tidak selamat dan boleh membawa mudarat terhadap kesihatan.
Menurut sebuah hantaran tular di laman Facebook, penggunaan akuarium kaca berserta pam jenis plastik itu tidak menepati kriteria penyediaan dan penyimpanan makanan selamat seperti yang digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Penggunaan bahan yang mengandungi silikon seperti BPA (bisfenol-A), BPS (bisfenol-S), ftalat, PVC (polivinil klorida), LDPE (polietilena ketumpatan rendah), PP (polipropilena), PS (polistirena), atau PC (polikarbonat) adalah tidak selamat.
“Balang dalam kategori gred makanan selamat diperbuat daripada plastik jenis PETE/PET (polietilena tereftalat) atau HDPE (polietilena ketumpatan tinggi). ‘Hanging filter’ di dalam gambar juga bukan diperbuat daripada bahan-bahan di atas,” jelasnya.
Menurut pengguna tersebut, semua bahan di atas tidak tergolong dalam kategori ‘food safe’ menjadikannya tidak selamat untuk penyediaan makanan.
“Saya berharap, para penjual tidak akan meniru cara penjualan sebegini pada masa akan datang. Ingatlah, penguatkuasaan selalu dilakukan.
“Jangan fikir nak ‘hipster’ sahaja sehingga mengabaikan aspek keselamatan makanan. Kalau kena kompaun, jangan cakap anggota penguatkuasa tindas sesama bangsa Melayu pula,” pesannya.
Jelasnya, penggunaan bahan selamat semasa berniaga sudah diketengahkan semasa menjalani kursus pengendalian makanan. Pemeriksaan berkala yang dijalankan juga bukan untuk menindas, sebaliknya untuk tujuan pemantauan.
“Tidak kiralah dimana sahaja anda berniaga, pemeriksaan mengejut akan dilakukan tanpa sebarang notis. Apabila ada aduan daripada pengguna, siasatan akan terus dilakukan.
“Pemeriksaan bukan bermakna orang dengki dengan perniagaan kau. Kalau tidak ada melanggar apa-apa kesalahan dari segi akta makanan, lepaslah. Kalau ada kesalahan, bersedialah untuk menerima kompaun,” katanya. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment