NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agihan kerusi, calon MB gugat kerjasama PH-BN dalam PRN Terengganu



Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diuji dengan masalah besar dipercayai berpunca daripada isu agihan kerusi,calon menteri besar dan tiada hala tuju dan kesepakatan antara jentera.

Hal itu diakui sendiri oleh beberapa pemimpin akar umbi parti tersebut yang tidak menolak kelemahan itu akan menjejaskan peluang Umno dan PH untuk merampas semula negeri itu daripada PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Menurut seorang pemimpin akar umbi Umno, setakat ini banyak program melibatkan jentera parti bergerak secara sendiri.

“Hanya di peringkat Pemuda sahaja yang kita nampak ada usaha untuk mengerakkan jentera bersama.

“Setakat itu sahajalah. Di peringkat pelancaran jentera BN negeri sendiri pun sepatutnya adalah pemimpin tertinggi PH yang datang tapi tidak ada. Setidaknya pengerusi PH negeri.

“Tapi yang hadir hanya pemimpin bawahan sahaja,” katanya kepada MalaysiaNow, dengan syarat tidak dinamakan.

Tambahnya, Umno tidak mempunyai masalah untuk bergerak dengan jentera sendiri memandangkan kekuatan mereka lebih besar berbanding Amanah dan PKR.

"Namun kalau kita nak gambarkan rupa kerjasama antara BN dan PH, saya tak nampaklah ia berlaku di Terengganu ini  contoh kalau kita nak banding dengan Kelantan keserasian itu dah mula nampak, di Kedah pun kerjasama sangat meyakinkan," katanya.

Beliau berkata Terengganu juga antara negeri yang paling lambat melancarkan jentera BN dan PH bagi PRN iaitu hanya selang sehari sebelum penamaan calon bagi PRN pada Sabtu.

PRN di enam negeri kali ini menyaksikan kerjasama PH dan BN buat pertama kali selepas terbentuknya kerajaan campuran di peringkat pusat.

Konflik PKR-Amanah, PH-BN

Namun di Terengganu, kerjasama antara BN dan PH teruji dengan isu rundingan kerusi dan konflik itu semakin ketara menjelang penamaan calon pada Sabtu ini.

Pada awalnya pertikaian melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di mana selain BN, kerusi itu menjadi rebutan dua parti dalam PH, PKR dan Amanah.

Namun ia kemudiannya diserahkan kepada BN.

Biarpun Umno berkata keputusan kedudukan kerusi DUN Bandar sudah dimuktamadkan, namun Amanah selepas itu mengeluarkan kenyataan tetap berhasrat meletakkan wakilnya di kerusi tersebut.

Tindakan Umno yang mengambil kerusi DUN Tepuh sekali lagi mengejutkan Amanah kerana kerusi itu sepatutnya diserahkan kepada parti itu seperti diputuskan menerusi Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu.

Pemimpin akar umbi dari parti juga tidak mahu dinamakan berkata, Amanah benar-benar kecewa dengan situasi tersebut.

Malah katanya, Amanah juga terkejut dengan tindakan rakan komponennya, PKR merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu sedangkan kerusi itu secara tradisinya milik parti itu.

"Difahamkan ia sebagai pertukaran untuk PKR mendapat kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Umno diberikan kerusi DUN Tepuh.

"Sedangkan perbincangan itu tidak melalui kita atau mesyuarat sekretariat negeri ia terus dibawa ke pimpinan tertinggi.

"Dan paling kita kecewa kerusi Parlimen Kuala Terengganu secara tradisinya ialah milik Amanah, Amanah pernah menang kerusi tersebut melalui Raja Kamarul Bahrin," kata sumber Amanah itu lagi.

Amanah ‘dibuli’ Umno, PKR

Beliau berkata tindakan Umno dan PKR itu menyebabkan Amanah terpaksa mengeluarkan kenyataan sekali lagi meluahkan kekesalan mereka sehari selepas pengumuman calon BN di negeri Pantai Timur itu.

Dalam kenyataan itu Kamarul yang merupakan pengerusi Amanah Terengganu berkata, pengumuman dibuat BN pada Jumaat lepas sangat bercanggah dengan keputusan yang dimuktamadkan sebelum ini.

Katanya, Amanah juga terkejut dengan tindakan rakan komponennya, PKR merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada awalnya, Amanah tidak membuat permintaan untuk bertanding kerusi tersebut kerana memahami petisyen itu adalah usaha Umno.

"Tapi apa yang jadi sekarang sangat melanggar prinsip kerjasama," kata pemimpin itu sambil membayangkan hubungan antara Amanah dan PKR sebelum ini memang sudah bermasalah.

Selain itu, sumber tersebut berkata isu calon menteri besar juga menimbulkan perbalahan antara tiga parti tersebut.

"Amanah tidak pernah bersetuju untuk meletakkan Pengerusi BN Terengganu Ahmad Said sebagai calon menteri besar atau poster boy, tapi PKR buat kenyataan menyokong pula.

"Begitu juga dengan manifesto, BN melancarkan manifestonya sendiri tanpa ada penglibatan daripada Amanah mahupun PKR," katanya.

PRK Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan PRN enam negeri pada 12 Ogos, dengan penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

BN meletakkan 27 calonnya di Terengganu, sementara baki lima kerusi ditandingi calon PH.

Terengganu kini dikuasai PAS sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.


Sumber I MalaysiaNow





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo