LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini

Kuala Lumpur: Seramai 22 saksi dirakam percakapan berkaitan insiden kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, pihaknya menerima empat laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu.

"22 saksi dirakam percakapan terdiri daripada empat pengadu, 12 pegawai Imigresen, empat pegawai polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan pekerja syarikat ejen pelancongan.

"Setakat ini, kes itu belum lagi diklasifikasikan mengikut mana-mana Seksyen kesalahan dengan kertas inkuiri polis (KEP) dibuka.

"KEP bagi kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, hari ini untuk pandangan dan keputusan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, King Sing dalam kenyataan, menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar 'peristiwa' memalukan selain mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

Malah, Tiong mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM.

Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

Perbuatannya dipercayai bagi 'menyelamatkan' seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu.

Sumber | Hmetro