NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usul Bahas Laporan Audit Negara: Kenapa MP Perikatan Nasional Tolak Usul Ini?

Usul Bahas Laporan Audit Negara: Kenapa MP Perikatan Nasional Tolak Usul Ini?

1. Pagi ni Kerajaan Bahaskan Laporan Audit Negara 2021 (ketika zaman Kerajaan Perikatan Nasional) dalam Parlimen. Sekali tengok nampak telus, tapi ia sebenarnya stunt politik murahan menjelang Pilihanraya Negeri (PRN). Sebelum kita baca penulisan ini, ingin saya jelaskan pembangkang tidak sama sekali takut untuk segala dapatan audit negara disiasat dan didakwa sebarang salah laku.

2. Usul membahaskan ini agak pelik kerana ianya tiada dalam aturan urusan mesyuarat (agenda sidang parlimen) yang asal. Ia dimasukkan last minute. Pihak pembangkang bawa usul yang lebih penting seperti usul KWSP oleh MP Machang dan usul Kalimah Allah oleh MP Jasin ditolak oleh speaker. 

3. Usul yang dibentangkan oleh Menteri ini jelas melanggar perlembagaan Persekutuan. Perkara 107 (1) memperuntukan Ketua Audit Negara mengemukakan laporan audit negara kepada YDPA dan dibentangkan dengan diletakkan sahaja (laid before the house) kepada Dewan Rakyat dan bukannya dibentang dan dibahaskan (tabled). Beza antara istilah "laid before the house" dan "tabled" sangat jelas dan perkara ini tidak boleh dilanggar.

4. Kalau ada peruntukan undang-undang yang jelas, Speaker Dewan Rakyat perlu ikut peruntukan tersebut. Kalau tiada peruntukan jelas barulah Speaker boleh buat ruling berdasarkan konvensyen atau amalan. 

5. Juga kita perlu faham sekiranya usul dibentangkan dalam parlimen, mesti ada perbahasan oleh kedua pihak (kerajaan dan pembangkang) dan dijawab atau digulung oleh Menteri berkaitan dan akhirnya diundi. Persoalannya Menteri pada 2021 sudah kebanyakkan tidak ada dalam Parlimen. Bagaimana mereka mahu menjawab dan adakah Menteri yang ada pada hari ini tidak akan mengambil kesempatan politik dalam menjawab?

6. Sejak sidang Parlimen yang pertama, belum pernah laporan audit negara dibahaskan dalam Parlimen. Sekiranya terdapat teguran yang perlu disiasat, Public Account Committee (PAC) yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pembangkang dan dianggotai oleh kedua-dua pihak wakil kerajaan dan pembangkang akan meneliti dan memanggil saksi untuk beri keterangan termasuk bekas Menteri. 

7. Laporan PAC kemudian akan dibentang dan dibahaskan dalam dewan. Ketika zaman Kerajaan Perikatan Nasional, Ahli Parlimen Ipoh Timur diberikan kuasa sepenuhnya sebagai Ketua PAC dan pernah menyiasat banyak perkara termasuk isu-isu ketika zaman covid dengan memanggil Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian. Malah selepas siasatan terperinci laporan PAC dibentangkan dalam parlimen. Tetapi Pengerusi PAC sesi ini, YB Mas Ermiyati tidak langsung diberikan peranan ini. 

8. Selain itu fungsi audit negara ini adalah untuk mengaudit perbelanjaan dan operasi kementerian dan agensi dibawahnya. Seperti dunia korporat, jabatan audit akan melakukan audit, kemudian akan ada dijawab oleh auditee berkenaan. Dalam kes ini Ketua Jabatan kementerian atau agensi berkenaan perlulah menjawab setiap dapatan audit dan kemukakan tindakan pembetulan.

9. Sekiranya terdapat kes besar sudah tentu agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM dan PDRM yang mempunyai kuasa dan kapasiti untuk menyiasat lebih dalam, mencari bukti, menangkap dan membawa kepada pertuduhan dimahkamah sekiranya dipersetujui oleh Peguam Negara. 

10. Sekiranya dibahaskan dalam Parlimen dengan tiada siasatan lanjut dan proses pembuktian, sudah tentu ia akan menjadi ruang perbahasan yang mana objektifnya adalah untuk mendapat keuntungan politik. Dalam kes ini, saya yakin pihak Kerajaan cuba menghentam Kerajaan Perikatan Nasional.

11. Jadi kepada pihak Kerajaan jangan merogol peruntukan undang-undang dan amalan konvensyen dalam Parlimen demi keuntungan politik. Serahkan kepada PAC atau pihak penguatkuasa undang-undang seperti PDRM dan SPRM untuk menyiasat segala dapatan audit negara yang perlu kepada siasatan lanjut. Parlimen fokus kepada usul-usul penting melibatkan kepentingan agama dan kebajikan rakyat.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo