Menurutnya, beliau sama sekali tidak menyebut akan mengambil semula Pulau Pinang atau meminda Perlembagaan Persekutuan untuk negeri tersebut dimasukkan semula ke dalam negeri Kedah.
“Ambil semula ni (kalau) apa yang telah kita hilang. Bagi saya kita (Kedah) tak pernah hilang. Pasal itu dia bayar pajakan. Dia pajak, benda itu hak dia ke, hak saya? Dia pajak pada saya. Contoh, contoh. Ni sat gi kata saya langgar Perlembagaan pula.
“Ini cuma nak jawab soalan. Kalau dia bayar pajakan kepada saya, tanah itu, hak dia ke hak saya? Kalau hak dia, dia bayar berapa? Jadi saya kata saya tak pernah hilang, buat apa ambil balik? Saya ulang masa itu kan. Takkan hat itu langgar Perlembagaan?
“Depa dakwa saya melanggar Perlembagaan. Takkan minta harga semasa (pajakan tersebut) duk langgar Perlembagaan? Depa tuduh saya nak suruh pinda hat itu (Perlembagaan) saya tak suruh. Saya tak kata.
“Depa kata Sanusi desak Perlembagaan dipinda. Saya tak pernah kata di mana-mana pun. Tak pernah. Tak pernah. Saya kata atas dunia ni hat tak boleh pinda Quran dengan Hadis je. Saya tak suruh pinda Perlembagaan pun.
“Itu salah mereka quote. Jadi perbincangan di Parlimen semalam itu atas quote yang salah dan mereka semua merujuk pada kesalahan itu. Jadi semua cakap itu salah. Lain kali tanya saya dulu. Jadi saya boleh habaq,” jelasnya.
Menurut beliau, dakwaan beliau kononnya berkata demikian dipetik dari sebuah portal dan dari situ juga laporan polis dibuat hingga menjadi perbahasan di Dewan Rakyat termasuk oleh Perdana Menteri.
Tempelaknya, mereka itu sepatutnya boleh bertanya langsung kepada beliau dan tidak sepatutnya sebagai kerajaan merujuk kepada portal, selain dijadikan soalan di dalam Dewan Rakyat.
“Saya pernah cakap dulu (harga semasa pajakan tersebut dituntut sebanyak) RM100 juta. Sebenarnya kalau nak nilai semasa kena lantik Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pi buat valuation, keluarkan satu nilai pajakan.
“Kalau pajak berapa? Itu nilai sebenar yang nilah. Tapi saya RM100 juta tu after discount,” terang beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini petang tadi.
Ditanya media sekiranya Kedah mahu menuntut Pulau Pinang, tegas Sanusi, beliau hanya mahu bayaran tersebut diproses dan perkara di masa depan bersandarkan segala bukti dikemukakan ketika itu terserah pada masa itu.
“Kalau daripada sekarang ini 100 tahun lagi atau 200 tahun lagi, bila anak-anak Kedah ni sudah cerdik, sudah pandai, sudah berani untuk bercakap tentang hak kita, dan ditemui
dokumen-dokumen, sandaran-sandaran yang menyokong apa-apa tindakan, pada masa itu, keputusan akan dibuat pada masa itu.
“Waktu saya ni tuntutan saya ialah bayar harga semasa. Jadi janganlah assume saya kena buat apa di masa depan, janganlah assume masa itu. Kita cross jambatan itu bila sampai situ, kita akan cross,” ujarnya.
Beritahunya, pajakan Pulau Pinang itu adalah berdasarkan Perjanjian 1968 dan Perlembagaan Malaysia 167(7) iaitu dibayar RM10,000 setahun dan bermula tahun 2018 dibayar sebanyak RM10,010,000.
Sanusi juga tidak menolak bahawa naratif tuduhan sedang dimainkan itu adalah bermotif politik yang disasarkan DAP kepada para penyokong mereka khususnya menjelang PRN tidak lama lagi.
Bidas beliau, DAP mahu menakut-nakutkan penyokong mereka kononnya jika parti itu tidak disokong maka Pulau Pinang akan diambil alih oleh Kedah di mana ia merupakan naratif politik perkauman sempit.
Khususnya menurut beliau, naratif tersebut ditujukan kepada kaum Cina dan untuk itu beliau menyeru supaya parti itu ditolak buang kerana menyebabkan Malaysia tidak aman dan rakyat sering ditakut-takutkan. – HARAKAHDAILY
No comments
Post a Comment