Kota Bharu: Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak menunggu pada hari penamaan calon untuk mengetahui sama ada bekas Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dicalonkan atau tidak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Presiden PAS itu turut mengakui senarai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) mempunyai kejutan, termasuk kemungkinan menampilkan tokoh daripada Umno.
"Tunggu hari penamaan calon sama ada nama beliau (Nik Mohamad Abduh) naik atau tidak, akan ada kejutan insya Allah.
"Tokoh daripada Umno pun insya Allah ada," katanya ketika ditanya mengenai desas desus mengatakan nama Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada PRN di Kelantan.
Terdahulu, Abdul Hadi merasmikan Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Peringkat Kelantan di sini, malam tadi yang turut dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Berhubung calon Menteri Besar di enam negeri nanti, Abdul Hadi berkata, perkara itu tidak dibincangkan.
"Tokoh Menteri Besar kita tidak bincang pun lagi, tunggu kita menang dulu, baru kita bincang," katanya.
No comments
Post a Comment