Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, dengan label sama turut diberikan kepada BERSATU selaku sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Untuk itu, katanya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri perlu membuktikan sesuatu kepada rakyat berbilang kaum di negara ini bahawa pentadbiran PH jauh lebih baik dan tidak korup seperti BN.

Tony Pua berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tony Pua berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Kena ingat Kerajaan Perpaduan sekarang ini mudah retak bila-bila masa. Jadi penting untuk Perdana Menteri dan keseluruhan kerajaan untuk terus berkhidmat.

"Perdana Menteri yang popular bukan untuk Petaling Jaya, tetapi untuk Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah, Sabah dan Johor," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, ketika berucap pada pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 menggesa DAP membuat permohonan maaf secara terbuka atas semua kata-kata dan tohmahan yang pernah dilemparkan kepada UMNO sehingga mengguris hati semua ahli parti itu hingga kini.

Muhamad Akmal berkata, permohonan maaf daripada DAP penting sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dan jujur untuk bekerjasama dengan UMNO.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan isu permohonan maaf tidak perlu lagi timbul.

Dalam pada itu, Pua menegaskan Anwar perlu menggunakan kesempatan ketika menjadi Perdana Menteri untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia serta kepada mereka tidak percaya dengan gabungan politik berbilang kaum bahawa parti berbilang kaum itu sebenarnya bersih dan tidak korup.

"Perlu tunjukkan supaya (rakyat tahu) ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan (parti) berteraskan Melayu, parti nasionalis Melayu seperti UMNO dan BERSATU.

"Kita sebenarnya boleh lakukan lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh pakatan korup seperti Barisan Nasional, UMNO serta BERSATU.

"Itu sebenarnya yang kita nak lakukan bila kita ada peluang lima tahun lagi bermula sekarang, untuk tunjukkan perbezaan. Bila kita berjaya, saya sangat yakin dalam tempoh empat tahun (akan datang) apabila kita adakah PRU, PH akan terima sokongan besar daripada rakyat Malaysia.

"Kemudian, kita akan boleh tubuhkan kerajaan sendiri dan laksanakan reformasi dan perubahan yang kita mahukan di bawah PH demi kebaikan rakyat Malaysia. Itu paling mustahak untuk kita semua," katanya.

Meskipun tiada jawatan dalam DAP ketika ini, Pua menegaskan beliau tidak sesekali akan meninggalkan parti itu.

Beliau juga tidak percaya dengan sokongan bukan partisan kerana percaya bahawa negara ini perlu pilihan.

"Jangan risau, saya sentiasa di sini dan bila saya bersedia untuk ke sini (majlis malam ini), saya pakai baju DAP, logo besar dengan rasa bangga. Saya akan tetap berada dalam parti ini dan tidak akan tinggalkan parti ini.

"Saya akan berjuang demi Malaysia yang lebih baik. Terima kasih kepada semua yang hadir pada malam ini dan sokongan majlis ini untuk PRN," katanya.