Peguam dan Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali. |
Pejuang menyuarakan kebimbangan terhadap cara menteri kerajaan Madani menggunakan pihak berkuasa dalam memberi amaran kepada pengkritik seperti yang dilakukan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata meski ada sekatan-sekatan tertentu dalam hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan namun kebelakangan ini sebarang kritikan akan ditakutkan dengan pihak berkuasa.
“Seolah meneruskan rentak sumbang membelakangkan reformasi, kerajaan campuran kini mara selangkah lagi apabila secara terangan mengugut akan menggunapakai pihak berkuasa dalam arena perbincangan terbuka.
“Apa yang berlaku kini seolah-olah salah guna kuasa atau kedudukan. Bagaimana seorang menteri boleh tergamak berkata sedemikian sedangkan parti beliau sendiri sebelum jadi kerajaan paling lantang bersuara mengkritik mereka dalam kerajaan?
“Kita faham dibawah Perlembagaan Persekutuan adanya hak asasi kebebasan bersuara. Ini termasuk mengkritik. Benar ada sekatan-sekatan yang boleh dikenakan oleh undang-undang bawah akta-akta tertentu.
“Tetapi kebelakangan ini nampaknya apa sahaja yang dikatakan terhadap kerajaan campuran Madani ini mestilah baik-baik sahaja. Kalau ada unsur-unsur kritik terus ditakutkan dengan penggunaan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sesi ‘live’ di TikTok yang dihoskan Fahmi malam semalam berakhir dengan Ketua Penerangan PKR itu mengancam penonton dengan tindakan kerana memuat naik komen mengkritiknya dan kerajaan campuran.
“Semua anda yang masuk dalam ‘live’ saya dan mengeluarkan kenyataan ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.
“Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio ‘car‘ yang singgah di rumah anda. We are monitoring, behave yourself (Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda),” kata Fahmi.
Namun semalam, beliau menafikan dakwaan mengancam itu sebaliknya, beliau hanya mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Sementara itu, Muhammad Rafique yang juga seorang peguam berkata amaran dan ugutan dilontarkan Fahmi itu salah serta tidak wajar.
“Yang peliknya, mereka yang kini berada dalam kerajaan termasuk YB Menteri Komunikasi dan Digital sendiri, adalah pihak-pihak yang memberi akujanji akan membawa perubahan atau reform berkaitan hak bersuara. Jauh panggang dari api.
“Amaran serta ugutan yang dilontarkan semalam oleh menteri adalah amat-amat salah dan tidak wajar. Ianya seolah satu proses intimidasi pada lawan yang boleh membawa pada salah guna kuasa.
“Perbuatan tersebut juga dirangka untuk mendiamkan kritikan atau pengkritik (silencing of critics). Ia juga salah satu cara untuk mengelak rakyat daripada terus mempersoal kewibawaan atau kecekapan kerajaan dalam menangani pelbagai isu yang menghantui rakyat seperti kos sara hidup, ekonomi yang makin parah serta isu hipokrasi kerajaan,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment