KUALA LUMPUR: Sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal mempunyai kelebihan serta kekurangan yang perlu dipertimbangkan sebelum ia dapat dilaksanakan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datin Dr Suzana Sulaiman berkata inisiatif ini akan memberi kelebihan kepada program-program yang tidak terikat dengan badan profesional namun mempunyai kemahiran praktikal serta berupaya menggunakan kemudahan teknologi digital secara optimal.
Katanya, perkara ini dilihat mampu menjadikan inisiatif berkenaan berjaya dan diteruskan pada masa akan datang.
"Namun, penelitian yang lebih teliti kepada program-program akademik yang berisiko tinggi serta memerlukan kemahiran praktikal lebih tinggi seperti perubatan, sains kesihatan dan farmasi serta program-program yang terikat dengan badan profesional sekiranya inisiatif ini diterapkan.
"Dari segi fleksibiliti, sistem pembelajaran hibrid membolehkan gabungan antara pembelajaran bersemuka di dalam bilik atau kelas dengan pembelajaran dalam talian.
"Ini memberi peluang untuk fleksibiliti dalam cara pelajar mengakses dan menyampaikan maklumat.
"Selain itu, dari sudut aksesibiliti pula, dengan penggunaan teknologi menerusi pembelajaran dalam talian, pelajar boleh mengakses bahan pembelajaran di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa yang sesuai bagi mereka.
"Ini dapat membantu pelajar yang mempunyai keterbatasan geografi atau fizikal," katanya kepada BH.
Semalam, BH melaporkan, KPT akan memperkenalkan sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dengan pelajar diwajibkan hanya menghadiri kuliah di universiti pada tahun pertama dan tahun akhir.
Bagi tahun pertengahan pengajian pula, pelajar akan diberi pilihan dan keanjalan mengikuti pengajian dari rumah tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dilaporkan berkata ia sebahagian inisiatif kerajaan bagi membantu pelajar daripada terus terbeban dengan kos pengajian, selain memberi mereka ruang yang fleksibel.
Mengulas lanjut, Suzana berkata, dari segi pembelajaran mandiri atau kendiri pula pembelajaran dalam talian dan jadual anjal boleh menggalakkan pelajar untuk mengambil inisiatif dalam pengurusan masa dan pembelajaran mereka sendiri.
"Mereka dapat menyesuaikan pengalaman pembelajaran mengikut keperluan dan gaya pembelajaran mereka sendiri.
"Bagaimanapun, penyusunan semula kurikulum yang agak padat dalam setahun menerusi pembelajaran secara anjal dan pengurangan tempoh pembelajaran dari empat ke tiga tahun tidak bermaksud kandungan kursus dan keseluruhan pengajian dikurangkan dari yang asal.
"Ianya adalah cara pembelajaran yang disusun dengan agak lebih padat dalam setahun pembelajaran dengan tambahan satu semester pendek yang sebelumnya adalah cuti atau permulaan latihan industri lebih awal dari biasa.
"Walaupun kandungan semester setahun agak padat, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara fleksibel tidak terbatas kepada bilik kuliah, dijangka dapat memberikan ruang masa yang selesa dan optimum untuk pelajar," katanya.
Meskipun demikian, Suzana berkata, menerusi pembelajaran secara dalam talian akan menyebabkan interaksi sosial antara pelajar dan pensyarah juga menjadi terhad.
"Pembelajaran dalam talian mungkin mengurangkan interaksi sosial antara pelajar dan pensyarah. Ini boleh mempengaruhi perkongsian idea, diskusi berpusatkan kumpulan, dan perkembangan kemahiran sosial pelajar.
"Dalam aspek kebergantungan teknologi pula, sistem pembelajaran hibrid memerlukan akses kepada peralatan teknologi yang sesuai dan sambungan internet yang stabil.
"Pelajar yang tidak mempunyai akses yang memadai kepada teknologi ini mungkin menghadapi cabaran dalam menyertai pembelajaran dalam talian," katanya.
No comments
Post a Comment