KOTA BHARU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, menegaskan tidak pernah culas daripada membayar cukai setiap tahun.
Dalam ceramahnya sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) peringkat Kelantan malam tadi, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN menegaskan, turut berhabis ribuan ringgit untuk membayar konsultan bagi menyelesaikan cukainya.
"Baru-baru ini saya 'diserang' Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) yang datang ke rumah saya. Saya nak jelaskan, dulu saya seorang ahli perniagaan dan hanya menjadi Ahli Parlimen bermula 2008.
"Isu saya tidak bayar cukai tidak timbul sama sekali kerana setiap tahun saya bayar cukai. Saya guna konsultan dan berhabis ribuan ringgit untuk buat cukai.
"Mereka sengaja mengeluarkan cerita mengatakan saya tidak membayar cukai," katanya.
Hamzah juga mempertahankan tidak pernah mengambil wang judi daripada sesiapa sebagaimana didakwa.
Justeru, beliau mendakwa menjadi mangsa fitnah sehingga 'diserang' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang datang ke pejabatnya atas sangkaan menyimpan wang hasil judi.
"Hasil pemeriksaan, wang berkenaan tidak ditemui. Saya nak maklum dengan nama Allah, saya tidak pernah mengambil duit judi dengan sesiapa pun, inikan pula untuk beri kepada rakan-rakan.
"Akhirnya bila tiada kes rasuah, ada pihak burukkan saya hingga terpaksa mencari masalah baharu iaitu berkaitan LHDN baru-baru ini.
"Saya akan selesaikan masalah saya dengan SPRM dan LHDN, saya minta pegawai kumpul semua berita yang memfitnah saya sebelum tindakan saman diambil terhadap mereka yang memfitnah saya. Saya tidak takut kerana saya berada di landasan yang benar," katanya.
Kediaman Hamzah di Damansara, Kuala Lumpur dilaporkan diserbu LHDN minggu lalu ketika serbuan oleh sepasukan pegawai kira-kira jam 11 pagi.
Serbuan berkenaan dilakukan susulan dakwaan ada beberapa cukai tidak dilaporkan.
No comments
Post a Comment