NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rizab antarabangsa BNM terendah dalam 6 bulan



Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) merosot ke paras terendah dalam tempoh enam bulan pada bulan lepas berikutan kemerosotan dalam rizab mata wang asing, kata Kenanga Research, lapor BH.

Pada 31 Mei 2023, rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$112.7 bilion yang mana ia memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

Kenanga Research berkata rizab mata wang asing merosot 1.6 peratus bulan ke bulan kepada AS$100.3 bilion iaitu penurunan bulanan terbesar sejak Jun 2022, berpotensi disebabkan oleh operasi campur tangan tukaran asing BNM untuk menyokong ringgit.

Katanya, aset rizab lain susut 2.9 peratus bulan ke bulan kepada AS$2.7 bilion, merosot mendadak dalam lapan bulan.

“Kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa merosot ke paras terendahnya dalam enam bulan sebanyak AS$1.4 bilion sementara Hak Pengeluaran Khas (SDR) dan emas kekal agak tidak berubah.

“Dari segi ringgit, rizab BNM susut di bawah RM500 bilion (-RM8.2 bilion atau -1.6 peratus bulan ke bulan kepada RM496.8 bilion), paras terendah dalam tujuh bulan,” kata Kenanga Research dalam nota penyelidikannya.

Mengenai pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Kenanga Research berkata ringgit melemah melebihi paras siling RM4.50 secara purata berbanding dolar AS.

Katanya, penyusutan itu didorong oleh peningkatan semula penghindaran risiko yang dicetuskan oleh krisis siling hutang AS, data ekonomi AS yang kukuh dan kenyataan yang lebih tegas daripada beberapa pegawai Rizab Persekutuan AS.

Katanya, nota tempatan itu juga terus tertekan oleh kejatuhan nilai yuan di tengah-tengah penunjuk makroekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan.

Mengenai unjuran ringgit berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, Kenanga Research berkata walaupun ringgit mungkin terus diniagakan di atas paras 4.60 dalam beberapa hari akan datang, pihaknya mengekalkan prospek neutral kepada meningkat untuk mata tempatan pada separuh kedua 2023.

Ia berkata, ringgit bersedia untuk mendapat manfaat daripada potensi kenaikan yuan kerana pemulihan China dijangka meningkat pada masa hadapan.

Ia ditambah pula dengan landskap politik Malaysia yang agak stabil dan prospek ekonomi yang kukuh, dijangka memberikan sokongan kepada ringgit, katanya.

“Selain itu, apabila pertumbuhan ekonomi AS semakin perlahan, mungkin terdapat penurunan dalam permintaan untuk dolar AS, yang akan memanfaatkan nota tempatan

“Walau bagaimanapun, sebarang kejutan menaik dalam bacaan inflasi AS mungkin mengubah naratif ini,” katanya.

Mengenai OPR, Kenanga Research berkata, memandangkan inflasi teras dan keseluruhan dijangka dalam trend menurun beberapa bulan akan datang, kemungkinan BNM akan memilih untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo