KUALA LUMPUR: Tan Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu, manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pula dilantik sebagai Timbalannya, berkuat kuasa Jumaat ini.
Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara lebih awal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah diatas kedua-dua pelantikan berkenaan" katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin, 61 yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Beliau memulakan tugasnya pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan berkenaan sehingga 1996 sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.
Antara jawatan yang pernah disandang olehnya termasuk Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan; Ketua Polis Daerah Kudat, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ketua JSJ.
Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Timbalan Ketua Polis Perak dan Timbalan Ketua Polis Negara mulai 2021.
Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016.
Ayob kemudiannya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor sebelum kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kini sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
No comments
Post a Comment