Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Jangkaan Perikatan Nasional (PN) mampu meraih sokongan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri ini, dilihat penganalisis sebagai agak realistik berikutan perkembangan politik membabitkan isu membelenggu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang boleh memberi kelebihan kepada PN.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata faktor Gelombang Hijau yang dikatakan pencetus peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PN itu sebenarnya dilihat tidak begitu jelas.

"Sebaliknya perpindahan undi secara besar-besaran dalam kalangan ahli dan penyokong PH dan BN kepada PN ini disebabkan ketidakselesaan, ketidaksetujuan dan penolakan terhadap kerjasama politik antara PH dengan BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

"PRN kelak adalah indikator utama untuk melihat mesej dan isyarat daripada penyokong serta ahli PH-BN, namun isyarat itu jelas, namun masih dinafikan oleh kepimpinan utama parti bagi menghalalkan tindakan kerjasama politik berkenaan.

"Saya tidak bersetuju perpindahan undi itu disebabkan Gelombang Hijau tetapi dicetuskan 'gelombang alternatif' untuk ahli dan penyokong PH-BN menyalurkan rasa tidak puas hati dan kemarahan terhadap kepimpinan parti," katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata, faktor undian liar yang sukar dijangka arah dan kecenderungan sokongannya khususnya membabitkan pengundi muda 18 hingga 30 tahun, turut dilihat akan mempengaruhi pola undian kepada BN dan PH.

"Golongan ini mengundi berdasarkan kepentingan dan manfaat yang mereka peroleh dan tidak lagi berpegang kepada ideologi, prinsip perjuangan dan imbauan sejarah lama.

"Dalam perkembangan politik hari ini, golongan ini terkesan dengan kekurangan peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi. Justeru tujuh bulan pentadbiran PH dan BN adalah pertaruhan penting yang menentukan tahap sokongan akan diterima," katanya.

Katanya, ahli UMNO kini dilihat masih tidak selesa, marah dan menolak serta sukar menerima keputusan kepimpinan partinya bekerjasama dengan PH khususnya DAP, memaksa undi ahli dan penyokong mereka akan disalurkan kepada parti Melayu alternatif.

"Selain itu, tindakan memecat, menggantung dan tindakan kepada bekas pemimpin kanan UMNO juga tindakan salah ketika parti itu memerlukan tenaga politik untuk merawat kelemahan dan parti yang sedang sakit akibat kekalahan besar dalam PRU-15.

"Tindakan itu (pecat) seperti merobohkan tiang seri kekuatan parti di beberapa negeri seperti Selangor, Perak dan ia memberi kesan negatif kepada parti kerana bekas pemimpin itu mempunyai kumpulan penyokong ramai dan tersendiri serta pengaruh yang besar di peringkat negeri dan nasional," katanya.

Pemimpin PN dalam siri ceramah politiknya mutakhir ini menaruh keyakinan sokongan pengundi Melayu pada PRN di enam negeri kelak akan berpihak kepada gabungan itu.

Sementara itu, berbeza bagi penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, yang menjangkakan PN sebenarnya masih sukar meraih undi majoriti dari pengundi Melayu, berikutan penerimaan rakyat ketika ini kepada Kerajaan Perpaduan.

"Saya rasa orang Melayu sudah bijak dan rasional dalam fikiran mereka. Mereka tidak akan terpengaruh dan ditakut-takutkan dengan isu 3R (bangsa, agama dan raja).

"Agenda dibawa Kerajaan Perpaduan juga lebih sederhana yang dekat dengan pendekatan rasional majoriti orang Melayu. Pendekatan PN yang banyak bermain sentimen dan tidak berbicara soal dasar, saya rasa akan ditolak pengundi," katanya.

Beliau juga berkata, kerjasama antara DAP dan UMNO sudah makin diterima oleh ahli dan penyokong kedua-kedua parti.

"Mereka sudah terima hakikat untuk bekerjasama bagi menstabilkan kerajaan, wujudkan perpaduan dan membangunkan negara. Kalau ada yang kecewa dan menolak kerjasama ini, hanya minoriti kecil saja. Namun ini boleh diatasi menjelang PRN nanti sebab mereka akan faham akan matlamat bekerjasama di dalam kerajaan lebih diutamakan," katanya.


Sumber | Bharian