NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN: Tun M sahkan akan berjumpa Muhyiddin



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan akan bertemu dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan mengenai pakatan untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Beliau berkata, pertemuan itu juga untuk membincangkan mengenai kemungkinan pihaknya bertanding bersama Perikatan Nasional (PN).

"Muhyiddin hari ini tidak dapat hadir tetapi beliau memberi sokong penuh terhadap Proklamasi Orang Melayu, malah beliau turut menghantar wakil.

"Kita juga akan mengadakan pertemuan pada satu masa nanti. Kita akan berbincang, mengenai kemungkinan untuk (pihaknya) bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN), jika itu adalah kehendak semua," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Meja Bulat Proklamasi Orang Melayu, di sini hari ini.

Yang turut hadir adalah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk Dr Mahathir bertanding dalam PRN, beliau bagaimanapun menafikan perkara itu malah secara berseloroh berkata, beliau sudah pun berusia untuk diterima semua.

"Saya sudah tua, sudah nyanyuk, tetapi saya tidak faham, orang Jepun, orang Korea panggil saya tetapi di sini (Malaysia) orang suruh bersara," katanya.

Mengulas mengenai Proklamasi Orang Melayu, Dr Mahathir berkata, tindakan untuk mengumpulkan parti Melayu, badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan, bekas pemimpin politik adalah untuk bekerjasama bagi menyelesaikan masalah kemiskinan yang membelenggu orang Melayu.

Katanya, antara usaha pertama yang akan dilakukan mereka adalah mengeluarkan satu deklarasiyang menyenaraikan sejumlah 12 masalah yang dihadapi orang Melayu.

"Kita mahu mereka sedar mengenai kedudukan mereka yang lemah dan semakin menjadi lemah. Ekonomi negara kini dikuasai orang bukan Melayu malah ketika ini juga kuasa politik mereka juga sudah terjejas.

"Oleh demikian, kita berpandangan bahawa untuk menyelamatkan orang Melayu, satu gerakan mesti diadakan merangkumi semua pihak dan ia akan menumpukan penyelesaian masalah ini," katanya.

Dr Mahathir juga menjelaskan, Proklamasi Orang Melayu bukanlah untuk menolak hak bukan Melayu atau cuba menghapuskan orang Cina. 

"Jangan anggap gerakan ini sebagai anti bukan Melayu kerana apa yang kita lakukan, kita tahu hak bukan Melayu. Mereka akan terus berniaga dan mencapai kekayaan.

"Tetapi kita juga mahukan keadilan dalam pengagihan kekayaan. Adil bukan sama rata kerana kita tidak boleh mendapat kekayaan yang sama rata kerana kekayaan orang Cina sudah begitu jauh," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Proklamasi Orang Melayu akan bergerak dalam pelbagai tindakan termasuk pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dalam perkembangan itu, Abdul Hadi yang ditanya mengenai kerjasama dengan Dr Mahathir, berkata, PN menyokong penuh Proklamasi Orang Melayu, tanpa membuat sebarang ulasan lanjut.


Sumber I BH Online




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo