NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Selangor: Amanah minta UMNO beri satu kerusi DUN di Hulu Selangor



Satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Selangor dituntut parti Amanah bahagian itu untuk ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Pemuda Amanah Bahagian Hulu Selangor, Abdul Mun’im Roslin menolak langkah UMNO meminta dua kerusi, Hulu Bernam dan Batang Kali untuk mereka bertanding dalam PRN dan sepatutnya salah satu kerusi diberikan kepada Amanah.

Dalam satu kenyataan, dia berkata hujah bahawa kedua-dua kerusi berkenaan adalah kerusi tradisi adalah bersifat subjektif malah bukan jaminan bahawa kerusi tersebut boleh dimenangi.

“Kami juga ingin mengingatkan bahawa asas kepada pembahagian kerusi mestilah adil dan seimbang dari segi komposisi parti yang bertanding mewakili kerajaan perpaduan dalam satu-satu Parlimen.

“Sandaran kepada hujah bahawa kerusi yang disebut merupakan kerusi tradisi adalah bersifat subjektif malah bukan jaminan bahawa kerusi tersebut pasti dimenangi.

“Sebaliknya keupayaan untuk menampilkan kesepaduan dalam pembahagian kerusi seharusnya menjadi kompas utama dalam menentukan pembahagian kerusi,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Kerusi DUN Hulu Bernam kini disandang oleh Datuk Rosni Sohar dari UMNO, yang telah memegangnya selama penggal kedua sebagai wakil rakyat kawasan itu. Ia juga adalah kerusi tradisi bagi UMNO.

Batang Kali, pula adalah satu lagi kerusi bawah Parlimen Hulu Selangor, dan pernah menjadi kubu kuat UMNO sehingga dikalahkan buat kali pertama oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 lalu.

Calon Amanah, Mohd Amran Sakir pernah bertanding di kerusi Hulu Bernam pada Pilihan Raya Umum 2018 lalu tetapi tewas kepada Rosni, manakala Bersatu bertanding di Batang Kali pada 2018, ketika itu sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang Amanah adalah antara parti komponennya.

Tambahnya lagi, Abdul Mun’im berkata walaupun bahagian Amanah Hulu Selangor menghormati pandangan semua pihak dalam kerajaan perpaduan, mereka tidak seharusnya diketepikan sewenang-wenangnya dalam proses pembahagian kerusi DUN di Parlimen Hulu Selangor.

“Justeru kami menuntut supaya sekurang-kurangnya satu kerusi diberikan kepada Amanah Hulu Selangor sama ada DUN Hulu Bernam atau Batang Kali dengan mengambil kira rekod perkhidmatan dan jentera kami yang telah bersiap sedia untuk bekerja menjelang PRN yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya lagi.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo