KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan mengakhiri separuh pertama 2023 kurang memberangsangkan dengan indeks petunjuk utama, FBM KLCI merosot hampir lapan peratus dalam tempoh enam bulan dan menjadi pasaran berprestasi buruk kedua di rantau ini selepas Thailand.
Pada jam 5 petang ini, indeks penanda aras Bursa Malaysia itu ditutup pada 1,376.68, 7.94 peratus kurang berbanding 1,495.49 mata yang dicatatkan pada hari terakhir dagangan 2022.
Indeks FBM KLCI hari ini jatuh 11.69 mata lagi berbanding 1,388.37 yang dicatatkan pada penutup dagangan Rabu lalu, sebelum pasaran ditutup sempena cuti umum semalam.
Berdasarkan perangkaan yang ada, FBM KLCI mencecah paras tertinggi 1,504.16 pada 25 November 2022, seminggu selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dan mengakhiri 2022 pada 1,495.49.
Bermula 2023, ia mencatatkan aliran menurun yang stabil sejak itu dan mencecah paras terendah 1,391.04 pada 16 Mac 2023, terutamanya terjejas oleh isu luaran seperti ketegangan geopolitik, pendirian agresif Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bahawa kadar faedah boleh meningkat lebih tinggi dan kekal tinggi untuk jangka masa panjang, dan krisis perbankan di AS dan Eropah.
Ia pulih menjelang pertengahan April selepas China menghapuskan sekatan COVID-19, keredaan isu krisis perbankan AS dan jangkaan meningkat untuk AS menghentikan kenaikan kadar.
Walau bagaimanapun, momentum itu gagal selepas Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 5.25 peratus Mei dan isu had siling hutang AS.
Persetujuan yang dicapai antara Demokrat dan Republikan berkenaan had hutang AS itu memberi kelegaan kepada pasaran, namun dengan enam Pilihan Raya Negeri yang akan datang mengekalkan pelabur dalam mod 'bertahan' pada Jun.
MIDF Research berkata, sentimen dalam pasaran tahun ini masih dipengaruhi keputusan kadar faedah oleh Fed.
Ia berkata, indeks FBM KLCI dan pasaran ASEAN lain terus ketinggalan dengan dana dilihat lebih bertumpu di pasaran Asia Utara.
Namun, firma penyelidikan pasaran itu menjangkakan, risiko pasaran aset dan ekuiti khususnya cenderung ke arah peningkatan dalam jangka pendek hingga sederhana.
"Melangkah ke hadapan, kami jangka momentum meningkat akan disambung semula terutamanya pasca (henti sementara kenaikan kadar) Fed, dengan dana antarabangsa bergilir ke ASEAN berikutan kelemahan dolar AS dan penilaian yang menarik," katanya.
MIDF Research juga membuat semakan semula bagi unjuran akhir tahun bagi indeks FBM KLCI kepada 1,540 mata berbanding 1,590 mata sebelum ini.
Sementara itu, Kenanga Research merasakan bahawa prestasi rendah pasaran tempatan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini sudah memerlukan kepada peningkatan.
"Kami percaya pasaran tempatan telah mencapai titik terendah, justeru berkemungkinan besar untuk keluar dari keadaan itu jika pendirian Fed kurang agresif terhadap kenaikan kadar faedahnya dan keputusan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang yang lebih mesra perniagaan," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kenanga Research berkata, dengan mengandaikan keputusan PRN yang 'mesra pasaran', Kerajaan Perpaduan kemudiannya akan dapat mempercepatkan pembaharuan dasarnya.
Ia berkata, pelan rasionalisasi subsidi dan pengenalan semula beberapa bentuk cukai penggunaan untuk meluaskan asas cukai boleh mencetuskan penarafan semula pasaran tempatan kerana ia akan mengukuhkan kemampanan fiskal jangka panjang negara.
Sumber | Bharian
No comments
Post a Comment