KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memuktamadkan rundingan kerusi dan mengesahkan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata BERSATU akan bertanding di 83 kerusi DUN, sementara PAS di 126 kerusi, sementara GERAKAN di 36 kerusi.
"Semua kerusi sudah dimuktamadkan. Di peringkat negeri, pengumuman akan juga dibuat nanti supaya ahli parti di negeri tahu dan menyusun jentera supaya berjalan dengan lancar.
"Rundingan kerusi berjalan dengan agak lancar, tiada perselisihan faham yang boleh mencetuskan masalah.
"Ia berjalan dengan teratur dan beradab serta dapat dimuktamadkan lebih awal daripada tarikh PRN yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti," katanya.
Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat parti di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.
Mesyuarat berkenaan berlangsung lebih dua jam. Terdahulu, Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi diadakan, dihadiri pemimpin tertinggi parti komponen PN.
Muhyiddin memaklumkan, sebanyak 64 kerusi DUN yang ditandingi BERSATU adalah kerusi bukan penyandang iaitu kerusi yang disandang parti lain, manakala PAS bertanding 50 kerusi dan GERAKAN bagi 36 kerusi.
Selain itu, katanya, PN juga sedang di peringkat akhir untuk memurnikan manifesto PRN dan akan diumumkan di peringkat negeri kelak.
"Jentera PN di peringkat negeri ketika ini berada di tahap (kesiapsiagaan) tertinggi dan komited dalam gerak kerja untuk mempertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta merampas Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang (daripada Pakatan Harapan).
"Kami yakin kerana usaha sudah kita mulakan sehingga sekarang nampak menggalakkan, yang mana pelancaran gerak kerja bukan saja mendapat sokongan parti, tapi hampir sebahagian besar pengundi.
"Kami yakin dengan trend yang sedang dan terus berlaku. Gelombang besar akan terus berlaku dan memberikan kita ruang dan kesempatan agak baik untuk mencapai kemenangan di PRN," katanya.
Mengenai penggunaan logo, Muhyiddin berkata, Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo PAS, manakala empat negeri lagi akan menggunakan logo PN, sama seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas kekangan kewangan untuk berdepan PRN susulan pembekuan akaun BERSATU oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Januari lalu, Muhyiddin menjelaskan, pemimpin parti itu memahami situasi terbabit dan akan berusaha keras meminimumkan beban kewangan parti.
"Sudah tentu pada masa sama, kita bertanding di bawah PN. PAS, BERSATU dan GERAKAN akan bekerjasama dan apa saja sumber yang kita ada, kita akan berkongsi untuk memastikan kemenangan," katanya.
No comments
Post a Comment