Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikritik bekas menteri hari ini selepas mengeluarkan kenyataan perolehan vaksinCovid-19 dibuat tanpa persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bekas menteri pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata melalui penggulungan mengenai kertas putih dibuat Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat hari ini jelas menunjukkan perolehan vaksin itu telah dibawa kepada AGC sebelum ditandatangani.
“Jadi siapa nak minta maaf ini? Rasa sedih pegawai-pegawai kesihatan berjumpa menceritakan apabila selesai pandemik, macam-macam disiasat seolah-olah kami membuat salah,” kata Ahli Parlimen Putrajaya itu di Dewan Rakyat sambil meminta kerajaan agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.
Lukanisman memberitahu dewan, AGC ada membangkitkan isu ketidakaturan dalam draf perjanjian berkenaan dan secara keseluruhan ia memang memihak kepada syarikat pengeluar.
Namun katanya, kerajaan tetap perlu membuat keputusan meneruskan pembelian yang mendesak atas faktor kepentingan awam.
Februari lalu, Anwar ketika mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan kertas putih mengenai perolehan vaksin berkata ada perkara yang tidak ikut peraturan dan ditandatangani oleh menteri tanpa persetujuan AGC.
Sejurus itu, bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan itu sambil menegaskan semua perolehan dibuat kerajaan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibentangkan kepada Kabinet.
Dalam usul yang dibentangkan pada Khamis, Lukanisman mengusulkan kepada Dewan Rakyat untuk ambil maklum bahawa perjanjian yang ditandatangani telah melalui proses semakan dan nasihat daripada AGC.
Semakan dan nasihat itu bagi memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh mengikut tatacara operasi standard perolehan vaksin Covid-19.
Usul itu juga menyatakan ‘pada saat genting tersebut’, jemaah menteri bersetuju agar menteri kesihatan dan menteri sains, teknologi, dan inovasi ketika itu diberi kuasa untuk berunding, menandatangani perjanjian pembelian, serta membuat perolehan vaksin ‘tanpa perlu merujuk’ kepadanya atau KKM untuk kelulusan.
Kuasa itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu terdapat wakil KKM dalam rundingan perolehan vaksin dan urusan tandatangan kontrak mewakili kerajaan tertakluk kepada Akta Kontrak Kerajaan.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment