NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyokong Umno Pecah Tiga Tekad Umno Kalah Prn Demi Pembebasan Najib

PENYOKONG UMNO PECAH TIGA TEKAD UMNO KALAH PRN DEMI PEMBEBASAN NAJIB

PRN yang akan diadakan pada Ogos nanti bakal saksikan pertembungan sengit 2 penjuru. Walaupun dilihat pasukan PH-BN lebih kuat berikutan asalan himpunan daripada dua gabungan parti politik dengan 19 komponen, namun kekuatan PN tidak boleh dipandang sebelah mata.

Terdapat 3 faktor utama perpecahan UMNO iaitu faktor Najib, faktor gabungan bersama PH dan faktor Zahid.

Namun faktor Najib adalah paling memberikan kesan besar dan pengaruh yang kuat terhadap penyatuan UMNO. Malah hampir kesemua pemimpin tertinggi UMNO tidak menafikan halatuju dan dinamika parti boleh berubah selepas PRN. 

Bagi pemimpin, mereka mengambil sikap tunggu dan lihat keputusan PRN. Tetapi bagi penyokong UMNO pula, mereka merasakan keputusan PRN adalah di tangan mereka. 

Bagi pemimpin UMNO mereka laungkan "UMNO Menang PRN, Najib Bebas". Tetapi penyokong tidak percaya, maka ada penyokong yang laungkan "UMNO Kalah PRN, Najib Bebas".

Semasa PAU2023 terdapat delegasi yang cuba melaungkan "Bebas Najib Sebelum PRN" di hadapan pemimpin-pemimpin tertinggi PH namun laungan itu dipandang sepi. Sebaliknya apa yang lebih menyedihkan kepada kebanyakan delegasi UMNO ialah terdapat laungan "Ayuh Jangan Takut DAP, Mereka Kawan Kita".

Kumpulan penyokong UMNO yang pertama terkenal dengan gelaran UMDAP. Mereka ini tidak langsung pedulikan keadaan Najib malah seolah bersetuju dengan tindakan PH mengheret Najib ke penjara untuk beri peluang mereka naik menjadi pucuk pimpinan. 

Agenda tersirat mereka biarlah Najib terus di penjara agar dapat mereka gunakan simpati itu untuk raih sokongan rakyat. Malah penyokong mereka turut bersetuju survival UMNO lebih utama daripada pembebasan Najib.

Pada mereka pada masa ini DAP jauh lebih mulia, ikhlas dan baik berbanding Najib. Kerana itulah idea kumpulan ini terus kekalkan Kerajaan Perpaduan demi survival UMNO. Mereka inilah juga akan memenangkan PH khususnya DAP dalam PRN nanti.

Kumpulan kedua ialah mereka yang sayangkan kepada Najib dan pada masa yang sama masih punya harapan dan kepercayaan kepada pimpinan tertinggi bahawa Najib akan dibebaskan selepas PRN. 

Penyokong dalam kumpulan ini punya kesetiaan yang sangat tinggi kepada parti malah terus percaya pemimpin sedang usahakan pembebasan Najib. Mereka sedar Anwar dan PH tidak akan bebaskan Najib kecuali diberikan isyarat dengan jelas. 

Maka penyokong kumpulan ini percaya Zahid, Anwar dan PH akan bebaskan Najib hanya jika PH-BN kalah teruk semasa PRN. Penyokong kumpulan ini juga tidak sesekali menyerahkan harga diri mereka untuk mengundi PH khususnya DAP demi memenangkan PRN. Malah ada dalam kalangan penyokong ini kekal UMNO tetapi tidak akan mengundi PH semasa PRN.

Penyokong dalam kumpulan ketiga pula adalah penyokong yang sangat fanatik kepada Najib. Mereka ini sangat percaya isu Najib sengaja dipergunakan oleh pemimpin tertinggi UMNO untuk raih sokongan penyokong. 

Mereka juga percaya pemimpin tertinggi akan lakonkan usaha bebas Najib sedangkan niat hati sebaliknya iaitu terus kekalkan Najib di penjara. Atas sebab inilah penyokong kumpulan ini percaya UMNO wajib dikalahkan dengan sangat teruk dalam PRN sebagai pembalasan pengkhianatan kepada Najib. 

Penyokong kumpulan ini percaya jika UMNO kalah teruk ia beri isyarat mereka mahukan Najib dibebaskan. Malah mereka inilah juga akan bertindak memujuk UMNO untuk mengubah halatuju dan dinamika parti kepada PN demi mendapatkan pembebasan Najib. 

Mereka ini terlalu kuat dengan jatidiri No Anwar No DAP sebab itu mereka sanggup keluar meninggalkan UMNO untuk membantu kemenangan PN dalam PRN nanti. Contoh jelas mereka adalah seperti tiktokers no 1 UMNO iaitu Atan Leecas dan Zam Yahya yang terang-terang muncul di medsos untuk mengajak seluruh ahli dan penyokong UMNO memastikan PH-BN kalah dalam PRN. 

Pada mereka apalah jatidiri UMNO yang tinggal jika terus beri sokongan kepada PH. Malah mereka terasa terhina apabila desakan kuat mohon maaf semasa PAU tidak langsung dipandang oleh DAP. Pada penyokong kumpulan ini DAP tidak ikhlas dan berpura-pura untuk berkawan dengan UMNO demi mendapatkan kuasa bagi kepentingan penyokong bukan Melayu.

Rumusan penulisan ini ialah UMNO akan kalah teruk dalam PRN nanti bukan kerana rakyat Melayu yang menolak perjuangan palsu UMNO sebaliknya penyokong sendiri yang mahu melihat UMNO tertungging ke bawah. 

Semua ahli dan penyokong UMNO tidak percaya Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang akan membawa kebaikan kepada rakyat sebaliknya pembebasan Najib lebih beri jaminan untuk kembali bawa kemajuan kepada negara. Atas kefahaman perjuangan inilah jalan terbaik ialah UMNO wajib kalah PRN.

Abu Fateh
16 Jun 2023

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo