NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pentadbiran Anwar ‘bakul sampahkan’ reformasi institusi, kata Muda

Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi berkata keputusan parti itu bertanding solo kerana mahu menyedarkan negara tentang isu melanda pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Muda mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim mengabaikan reformasi institusi dan pembangkang yang banyak bermain sentimen sebagai sebab ia akan menentang semua parti pada PRN akan datang.

Setiausaha Agung, Amir Hariri Abd Hadi, ketika ditanya mengenai keputusan Muda bertanding solo berkata ia mahu menyedarkan negara tentang isu melanda pentadbiran Anwar.

Beliau menyenaraikan isu seperti melantik orang politik dan ahli keluarga ke syarikat berkaitan kerajaan, dan mendiamkan kritikan terhadap dakwaan rasuah dikaitkan dengan Barisan Nasional.

Turut disorot mengekalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) tanpa usaha untuk mansuh atau pinda serta menggunakannya; dan tiada pendakwaan berkaitan skandal kapal tempur pesisir (LCS), dan tindakan speaker Dewan Rakyat menolak usul Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk membahaskan isu itu.

“Reformasi institusi termasuk lantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melalui Parlimen yang kita suarakan dulu dibakul sampahkan,” katanya kepada FMT.

“Akhirnya Azam Baki yang ditentang dahulu dilantik semula,” tambahnya. “Siapa yang boleh nafikan perkara-perkara ini? Silakan.”

Amir berkata, Muda mahu menjadi alternatif kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, serta Perikatan Nasional yang dibidas kerana banyak bermain sentimen.

“Kita tidak punya pembangkang berkesan; pembangkang hari ini lebih banyak memainkan sentimen melalui isu kaum, agama, dan raja secara melampau berbanding isu-isu dasar. Mereka juga tidak ‘subscribe’ (tidak berpegang) dengan agenda reformasi.

“Lalu rakyat perlu diberi pilihan yang lain, selain satu tamparan perlu diberi kepada yang berkuasa.”

Ditanya mengenai perbelanjaan untuk PRN, Amir berkata calon yang bertanding bertanggungjawab menyediakan duit sendiri. Muda juga terpaksa meminimumkan perbelanjaan dengan majoriti kempen dijalankan secara dalam talian.

“Kita akan fokus menyediakan tawaran dan dasar, berbanding mengira berapa bendera dan sepanduk yang digantung,” katanya.

Sebelum ini, Anwar memberitahu Dewan Rakyat akan ada pendakwaan peringkat kedua berhubung isu pembinaan LCS, dan semua pihak mesti menerima pendakwaan dibuat oleh Peguam Negara.

Speaker Johari Abdul ketika menjelaskan penolakan usul Syed Saddiq berkata ia ditolak kerana perbahasan akan dibenarkan selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporannya.

Berhubung pelantikan Azam, Anwar berkata khidmatnya diteruskan kerana beliau menjalankan tugas dengan memuaskan, tanpa memilih puak atau parti.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo