Pengumuman yang dimuat naik di akaun Facebook KADA, hari ini. |
Kerajaan perpaduan BN-PH tetap meneruskan amalan lantikan politik meski teruk dikritik sebelum ini termasuk dari blok kerajaan sendiri.
Terbaharu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Muhammad Husin diumum Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang baharu.
Pelantikan Muhammad berkuat kuasa 15 Mei lalu bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Kamaruddin Md Noor.
Perkara itu disiarkan oleh KADA menerusi akaun Facebooknya, hari ini.
“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada YBrs Tn Hj Mohammad Husain di atas pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu berkuatkuasa 15 Mei 2023.
“Tahniah dan selamat menjalankan tugas diucapkan. Ikhlas daripada pengurusan tertinggi dan warga kerja Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu,” kata hantaran tersebut.
Sementara itu, memetik laporan Berita Harian, Muhamamd memaklumkan telah menerima surat lantikan itu hari ini dan beliau akan memulakan tugas secara rasmi pada Ahad ini.
“Biarlah saya tidak mahu komen lagi memandangkan hari ini baru terima surat, saya akan mula masuk ke pejabat pada Ahad ini,” katanya yang juga Pengerusi Amanah Kelantan.
Sebelum ini beberapa lantikan politik menarik perhatian umum termasuk pelantikan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai pengerusi baharu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang berada dalam blok kerajaan dilantik sebagai pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui Datuk Seri Mohamad Sabu melantik lima pemimpin parti kerajaan malah beliau mempertahankan keputusan lantikan itu dan memberitahu ianya dibuat selepas dipersetujui pimpinan kerajaan dan ia juga tidak melanggar prinsip kerajaan perpaduan.
Beliau yang juga Presiden Amanah seolah-olah membayangkan lantikan itu bukan perkara besar kerana pengerusi-pengerusi yang dilantik itu hanya mempengerusikan mesyuarat dan dibantu oleh pakar yang akan memberi nasihat.
Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah bagi Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli juga dari Amanah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Turut dilantik adalah bekas exco Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali daripada DAP sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan bekas ahli Parlimen PKR bagi Kuala Kedah, Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment