Rafique Rashid mahu Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara menjelaskannya.
Penjara Kajang, tempat bekas perdana menteri Najib Razak menjalani hukuman 12 tahun selepas didapati bersalah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.
Seorang peguam mempersoalkan layanan berat sebelah terhadap Najib Razak selepas kenyataan seorang pemimpin Umno meluangkan masa hampir dua jam bersama bekas perdana menteri itu, dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Penjara Kajang, baru-baru ini.
Rafique Rashid berkata pendedahan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai lawatannya itu jelas menunjukkan sikap "double standard" oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara terhadap prosedur lawatan dalam kalangan pelawat.
Beliau menegaskan pihak-pihak berkenaan jelas sudah melanggar peraturan dan undang-undang dalam proses lawatan ke institusi itu.
Katanya, sejak sekian lamanya orang awam termasuk peguam dan ahli keluarga banduan perlu mematuhi syarat serta prosedur lawatan yang ditetapkan oleh penjara.
Antaranya, mereka tidak boleh berkomunikasi secara bersemuka dengan banduan sebaliknya bercakap menggunakan telefon dan dihalang oleh cermin kaca bagi mengelakkan sentuhan.
Selain itu, tidak boleh membawa masuk sebarang peranti komunikasi seperti telefon bimbit dan alat rakaman.
Juga, makanan dan minuman dari luar dilarang untuk dibawa masuk sama sekali.
"Mengapa lain pula ceritanya bila Zahid melawat Najib?" katanya ketika dihubungi MalaysiaNow.
Pada Sabtu, ketika menggulung Perhimpunan Agung Umno Zahid berkata beliau turut membawa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama.
Mengulas lanjut, Rafique juga menyelar tempoh lawatan Zahid bertemu Najib selama dua jam sedangkan hanya 45 minit secara maksimum ditetapkan untuk setiap pelawat selain kawalan ketat oleh pegawai dan warden penjara.
Antara lain, peraturan lazim yang ditetapkan adalah mematuhi jadual perjumpaan yang ditetapkan sama ada lawatan sebulan sekali atau seminggu sekali di penjara.
Dalam pada itu, Rafique menggesa KDN dan Komisioner Jeneral Penjara Nordin Muhamad supaya menjelaskan persoalan-persoalan yang timbul selepas pendedahan Zahid pada Sabtu.
Tambahnya, segala prosedur dan proses lawatan yang dilalui oleh beliau sebagai peguam masih kekal dan tak pernah berubah.
Ini bermakna, katanya, pengalaman yang sama juga dilalui oleh ahli keluarga dan orang awam ketika melawat banduan di penjara.
"Dalam peraturan dalaman untuk Jabatan Penjara masih sama.
"Bukankah negara amalkan sistem undang-undang yang sama rata?
"Kasihan juga kepada banduan-banduan yang lain," katanya.
Najib yang juga bekas ahli Parlimen Pekan kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara dan didenda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hukuman itu dikekalkan apabila Mahkamah Rayuan menolak rayuan Najib dan keputusan itu dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu sebelum bekas presiden Umno itu dihantar ke Penjara Kajang.
No comments
Post a Comment