Foto hiasan
Foto hiasan

PUTRAJAYA: Bermula esok, segala aduan berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pegawai pasukan itu tidak lagi dikendalikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Sebaliknya PDRM tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 [Akta 839] (IPCC) yang akan berkuatkuasa esok, sekali gus tidak lagi disenarai di bawah Jadual Akta EAIC 2009 [Akta 700] sebagai salah satu agensi penguatkuasaan seliaan EAIC.

"EAIC akan menyelesaikan semua aduan dan siasatan yang diterima sebelum tarikh 1 Julai dalam tempoh setahun sehingga 1 Julai tahun depan selaras Seksyen 47 Akta 839," katanya melalui kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, sebarang pertanyaan atau aduan oleh orang ramai terhadap PDRM bermula esok boleh disalurkan dengan menghubungi Bahagian Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di talian 03-8886 8526 atau 03-8886 8529.

EAIC bagaimanapun berkata, pihaknya terus komited dengan visi sebagai peneraju dalam penguatkuasaan, transformasi dan pembudayaan integriti berteraskan profesionalisme dan amalan terbaik.

Orang ramai boleh melayari www.eaic.gov.my untuk sebarang maklumat atau info lanjut berkaitan EAIC. – BERNAMA