NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS, Bersatu kekal pendirian tolak kerajaan perpaduan



PAS dan Bersatu kekal menolak tawaran menyertai kerajaan perpaduan yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya masih kekal dengan keputusan untuk berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif di negara ini.

Tegasnya, PAS dan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhannya tidak akan mengkhianati janji yang dibuat kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

“Tawaran ini bukan sesuatu yang baharu kerana kita juga pernah ditawarkan sebelum penubuhan kerajaan. Walaupun hasrat beliau (Fadillah) bagus tapi PN sudah buat keputusan untuk tidak bersama kerajaan perpaduan.

“Ini juga adalah komitmen kita dengan rakyat sewaktu pilihan raya. Kalau kita ubah, ia umpama kita khianat dan berbohong kepada rakyat yang kita janji.

“Walaupun ada tawaran, keputusan kita kekal buat masa ini,” katanya lapor BH, hari ini.

Semalam, Fadillah menyarankan supaya PN menyertai kerajaan perpaduan dan bekerjasama demi kesejahteraan rakyat serta melicinkan usaha pemulihan ekonomi bukannya terlalu banyak berpolitik.

Menurut Fadillah, PN perlu menyedari tindakan terlalu banyak berpolitik akan memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Namun Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan teguran dan kritikan dilontarkan adalah sebahagian peranan pembangkang yang tidak semestinya memberi kesan pada ekonomi negara.

“Teguran pembangkang tak akan jejaskan kedudukan kewangan, pelaburan dan sebagainya selagi mana kerajaan yang ada mampu mentadbir dengan baik dan sempurna,” katanya.

Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata tiada keperluan untuk PN menyertai kerajaan perpaduan lebih-lebih lagi atas alasan untuk menstabilkan kerajaan.

Namun Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu lebih beranggapan tawaran tersebut muncul lagi susulan kerajaan campuran mula bimbang dengan isyarat daripada rakyat menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Tak ada keperluan sertai kerajaan perpaduan. Kalau kita nak, dari awal dulu kita dah masuk dah. Saya tak nampak keperluan untuk Bersatu dan PN sertai kerajaan.

“Saya nampak tawaran ini kerana PRN dah hampir jadi mungkin mereka lihat isyarat menunjukkan rakyat semakin menolak kerajaan,” katanya.

Beliau turut berpendapat ekonomi negara tidak stabil bukan kerana kritikan pembangkang sebaliknya kelemahan pentadbiran kerajaan itu sendiri.

“Bukan kita yang menyebabkan ekonomi tak stabil tapi pentadbiran kerajaan perpaduan itu sendiri. Harga barang meningkat, tiada kawalan, dasar tiada hala tuju, mata wang menurun. Ini menyebabkan orang mengeluh.

“Jadi tak perlu tuding jari kepada PN. Kita orang politik, memang kerja kita berpolitik. Syarah, ceramah itu kerja kita,” katanya.


Sumber I Agenda Daily 



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo