MELAKA – Kerajaan dirayu untuk mempertimbangkan semula keputusan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang merangkumi dasar generasi penamat (GEG) pada sesi Parlimen kali ini.
Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) menyifatkan RUU yang akan dikenakan kepada golongan lahir selepas tahun 2007 itu masih belum sempurna untuk menangani isu mengurangkan jumlah perokok di Malaysia.
Setiausahanya, Datuk Tan Chnan Yeang berkata, sehubungan itu, RUU berkenaan tidak sewajarnya dibentangkan secara terburu-buru kerana masih banyak perkara yang perlu diteliti semula.
“Kami menyuarakan kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua Ahli Parlimen agar tidak mengambil langkah terburu-buru yang mungkin mendatangkan lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan.
“Ini dibimbangi akan menggagalkan objektif untuk mengurangkan jumlah perokok kerana kami percaya pendidikan adalah kunci utama untuk mengurangkan kelaziman merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bantahan RUU GEG di Kota Laksamana di sini hari ini. Hadir sama Presidennya Wong Teu Hoon.
Mengulas lanjut Chnan Yeang berkata, kerajaan seharusnya lebih tegas dengan memperluaskan kawasan larangan merokok dan menjalankan lebih banyak penguatkuasaan terhadap perokok bawah umur.
“Larangan merokok untuk generasi baharu tidak akan menyelesaikan masalah ini dan pendekatan lebih seimbang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, antara kebimbangan itu adalah RUU itu jika dikuatkuasakan akan mendorong perokok untuk memilih rokok seludup dan seterusnya menjejaskan pendapatan dan kutipan cukai kepada negara.
“Penjualan produk tembakau merupakan salah satu sumber pendapatan peniaga kedai kopi dan jika kerajaan menguatkuasakan larangan merokok bagi mereka yang lahir selepas 2007, ia akan memaksa perokok untuk membeli produk tembakau daripada saluran yang tidak sah.
“Ini sekali gus akan akan memburukkan lagi masalah perdagangan rokok seludup di Malaysia walaupun kami yang menaungi 43 persatuan di seluruh negara dengan lebih 20,000 keahlian agenda kerajaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment