Balasore, India: Sekurang-kurangnya 207 orang terbunuh, lebih 850 lagi cedera dan ramai lagi dikhuatiri terperangkap selepas perlanggaran ngeri tiga kereta api lewat Jumaat di negeri Odisha di timur India, kata pegawai tempatan.
Wartawan AFP di lokasi kejadian melihat bahagian kereta api yang hancur berlubang, berpintal dengan besi berlumuran darah berhampiran Balasore, kira-kira 200 kilometer (km) dari ibu negeri, Bhubaneswar.
Gerabak itu terbalik sepenuhnya dan pekerja penyelamat mencari untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam serpihan, dengan puluhan mayat ditutup dengan kain putih diletakkan di tepi landasan.
"Kerja menyelamat masih diteruskan di tapak dan kami akan mengambil masa beberapa jam lagi untuk selesai di sini."
Ketua Setiausaha Negara Odisha Pradeep Jena mengesahkan bahawa kira-kira 850 orang yang cedera sudah dihantar ke hospital, dengan kerja menyelamat sedang dijalankan.
"Keutamaan kami sekarang ialah menyelamatkan (penumpang) dan memberikan bantuan kesihatan mereka yang cedera," katanya.
Pengarah Eksekutif Indian Railways, Amitabh Sharma memberitahu AFP bahawa dua kereta api penumpang terbabit dalam kemalangan itu manakala kereta api barangan yang diparkir di lokasi, terbabit sama.
India tidak asing dengan kemalangan kereta api dan pernah menyaksikan beberapa kejadian seperti itu pada masa lalu, tetapi skala nahas terbaru mencetuskan kejutan.
Dengan begitu ramai yang cedera, mangsa dibawa oleh ambulans dan bas ke mana-mana hospital yang mempunyai ruang.
"Kami menyediakan semua hospital kerajaan dan swasta untuk menampung mereka yang cedera", kata SK Panda, jurucakap di pejabat Jena di negeri Odisha.
Jurucakap itu menambah 75 ambulans digegaskan ke lokasi dan mengerahkan banyak bas untuk mengangkut penumpang yang cedera.
Perdana Menteri India Narendra Modi berkata "Dalam masa kesedihan ini, ingatan saya bersama keluarga yang berduka. Semoga yang cedera segera pulih", kata Modi di Twitter.
No comments
Post a Comment