Kerajaan menganggarkan kos perbelanjaan bagi pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi yang melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mencecah RM420 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan angka itu melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, semalam.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan jumlah kos yang dijangka dibelanjakan untuk PRN di enam negeri dan jaminan kerajaan untuk memastikan kemudahan kerajaan tidak disalahgunakan oleh parti pemerintah untuk tujuan kempen PRN kali ini.
Dalam jawapan sama, Azalina berkata semua pihak hendaklah mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) serta undang-undang lain yang berkaitan pilihan raya semasa berkempen.
“Pada setiap kali penganjuran pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa memberi saranan kepada semua pihak supaya mengemukakan laporan kepada mana-mana jabatan/agensi yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia jika terdapat mana-mana pihak melakukan kesalahan sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.
“Ini bagi membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan/agensi tersebut. Bagi tujuan ini, SPR turut memerlukan kerjasama yang menyeluruh dan adalah tanggungjawab semua pihak serta pemegang taruh yang terlibat dalam memastikan urusan kempen pilihan raya dilaksanakan secara lancar dan teratur,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkait tahap persiapan kerajaan memastikan kelancaran PRN, Azalina berkata SPR kini dalam fasa siap siaga.
“SPR telah membuat perancangan dan persediaan yang menyeluruh meliputi aspek seperti keperluan bajet pilihan raya, peralatan, logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.
“SPR juga telah mengadakan sesi libat urus dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dalam membantu melancarkan lagi proses pilihan raya,” katanya.
Menurutnya lagi, SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan ke atas daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi bagi memudahkan pemilih keluar mengundi.
“Selain itu, SPR juga menjalankan urusan pengemaskinian daftar pemilih dari semasa ke semasa berdasarkan kepada Peraturan 10 dan Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
“Ini termasuklah memotong nama pemilih yang telah disahkan meninggal dunia dan memotong nama pemilih yang telah disahkan melepaskan atau dilucutkan hak kewarganegaraan,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment