NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Kita buat kerja Tuhan” - Saifuddin



Ketegangan tercetus dalam Dewan Rakyat hari ini susulan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan kenyataan kontroversi menyerang blok pembangkang berhubung isu isu bangsa, agama dan raja.

Saifuddin Nasution ketika menggulung Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menegur ahli politik yang didakwanya ‘membuat kerja tuhan’ dengan menuduh pihak lawan sebagai tidak beriman dan berakidah hanya kerana berbeza pendirian politik.

“Sokong kita, namanya beriman dan berakidah. Tak sokong kita (ertinya) tak beriman, tak berakidah. Kita buat kerja tuhan. Ini satu masalah baharu dalam negara kita.

“Islam agama keamanan, kasih sayang, agama yang mengharapkan kita hormat-menghormati, menganjurkan kita berkasih sayang, agama yang indah, tapi akhlak dan pembawaan politik kita memesongkan ajaran Islam,” katanya di Dewan Rakyat.

Susulan itu, Ahli Parlimen (MP) Jasin Zulkifli Ismail kemudian bangun mencelah penggulungan itu dan meminta Saifuddin ‘tidak membuat fitnah dan cakap benda yang mengarut’.

“Di mana fitnahnya? Di mana kenyataan saya itu salah?” soal Saifuddin Nasution.

“Kenyataan itu mengandungi unsur fitnah, bertujuan jahat,” jawab Zulkifli, yang menggesa Saifuddin Nasution memberi tumpuan pada idea dan pandangan yang bermanfaat.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Saifuddin Nasution sekali lagi bertanya mengapa ucapannya yang menyebut Islam sebagai agama yang indah, keamanan dan mengajak manusia hormat menghormati dianggap salah, sebelum Zulkifli mengulangi jawapan yang sama.

Situasi itu menyebabkan Dewan Rakyat bertukar kecoh, sebelum MP Jelutong RSN Rayer bangun mengikut Peraturan Mesyuarat 36(4) bagi menuntut Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mengarahkan Zulkifli menarik balik perkataan ‘mengarut’ yang ditujukan pada Saifuddin Nasution.

Dalam pertimbangannya, Ramli bersetuju bahawa perkataan ‘mengarut’ itu tidak berperlembagaan dan mengarahkan Ahli Parlimen Jasin itu menarik balik perkataan berkenaan.

“Saya tidak akan menarik balik kerana saya tidak melakukan kesalahan,” kata Zulkifli, sebelum Ramli beberapa kali bertanyakan kembali sama ada benar Ahli Parlimen Jasin itu mahu membantah keputusannya.

Keengganan Zulkifli menarik balik perkataan itu terus mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat, dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mempertahankannya, manakala Ahli Parlimen kerajaan menggesa Ahli Parlimen Jasin itu mematuhi perintah Speaker.

“Patuhi perintah Speaker. Jangan biadab,” kata Rayer, yang mengundang kemarahan Zulkifli dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang lain.

“Kita sebagai Ahli Parlimen terikat dengan peraturan…Kalau Yang Berhormat (YB) tidak mahu (patuh arahan), cakap tidak mahu. Saya boleh rujuk pada jawatankuasa (Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen),” kata Ramli, yang kekal tenang mengawal situasi kecoh itu.

Selepas berulang kali enggan menarik balik, Zulkifli secara tiba-tiba mengubah pendirian sebaik saja Ramli mahu membuat keputusan merujuknya kepada jawatankuasa berkenaan.

“Kerana saya dipaksa, maka saya menarik balik,” kata Ahli Parlimen Jasin itu, menyebabkan Ramli tersenyum sinis sebelum menerima keputusan Zulkifli.

Bagaimanapun, kekecohan itu tidak berakhir apabila MP Pendang Datuk Awang Hashim pula bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(4) bagi meminta Speaker mengarahkan Rayer menarik balik perkataan ‘biadab’ yang ditujukan pada Zulkifli.

Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu juga mendakwa Rayer tiada hak untuk mencelah kerana apa yang dibincangkan antara Zulkifli dan Saifuddin Nasution adalah membabitkan agama Islam, sedangkan Ahli Parlimen Jelutong itu bukan penganut Islam.

“Saya memutuskan itu (perkataan biadab) juga tidak berperlembagaan dan minta YB Jelutong tarik balik,” katanya, namun menolak isu perbezaan agama yang dibangkitkan Awang.

“Tak ada masalah. Saya tarik balik biadab, saya guna perkataan kurang sopan,” kata Rayer, sebelum Saifuddin Nasution menyambung penggulungannya.


Sumber I Agenda Daily 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo