KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya struktur fi rendah yang dikenakan di klinik, hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan awam lain dikaji semula agar lebih sepadan dengan kemampuan pesakit.
Cadangan itu dibuat menerusi Kertas Putih setebal 57 halaman dengan reformasi berkenaan dicadang untuk menyasar subsidi penjagaan kesihatan dengan lebih baik.
Langkah itu juga akan memastikan kesaksamaan dalam pembiayaan kesihatan dan isi rumah berpendapatan rendah mampu membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Kadar fi rendah yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam adalah antara ciri sistem kesihatan negara yang amat dihargai rakyat, di mana ia membolehkan akses kepada sistem kesihatan pada kos yang berpatutan.
“Namun, struktur fi yang sama untuk semua telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan dan keupayaan untuk membayar, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.
“Untuk menambah baik kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan awam, kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula agar lebih sepadan dengan tahap kemampuan,” katanya.
Pada masa sama, Kertas Putih Kesihatan itu turut mencadangkan jaringan keselamatan isi rumah berpendapatan rendah dikekalkan.
Bagi tujuan itu, pilihan skim caruman progresif akan dikaji bagi mempelbagai sumber pembiayaan kesihatan dalam memastikan kemampanan pembiayaan kesihatan.
Jelasnya, satu pakej manfaat kesihatan yang menyenaraikan perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan yang boleh diakses oleh rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta dengan kadar fi yang berpatutan akan dibangunkan.
Katanya lagi, pakej manfaat itu akan dibiayai melalui dana kesihatan khusus di bawah pengurusan Pembeli Strategik bukan berasaskan keuntungan yang ditadbir melalui pelaporan dan pengawasan yang jelas dan berkesan.
“Usaha ini meningkatkan perkongsian risiko kesihatan dan kewangan dalam kalangan penduduk, di samping mengurangkan perbelanjaan duit poket sendiri dan perbelanjaan kesihatan yang memudaratkan.
“Peranan Pembeli Strategik akan diperkukuhkan untuk membolehkan perolehan perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada sektor awam dan swasta melalui model pembayaran yang inovatif dan berasaskan nilai,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment