NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keperluan air di Kelantan ini tidaklah begitu besar sangat - Nik Nazmi



KLANG – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan meneliti keperluan sebenar Kerajaan Kelantan sebelum dana dapat disalurkan bagi meneruskan projek pembinaan empangan di negeri itu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika ini, Kelantan hanya memerlukan 500 juta liter air sehari (MLD) bagi menampung keperluan penduduk selain menyelesaikan masalah gangguan bekalan di beberapa kawasan di negeri ini.

“Sebenarnya keperluan (air) di Kelantan ini tidaklah begitu besar sangat, dia nak berkali ganda, dari 500 MLD kepada hampir 2,000 MLD, itu yang jadi RM8 bilion.

“Sebab itu kita nak tengok balik apa yang perlu disegerakan dan dalam masa sama kena seiring dengan pembinaan loji rawatan air,” katanya pada sidang media di Taman Mangrove Point, Pelabuhan Klang hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan Kelantan meminta dana berjumlah RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air yang berlarutan di negeri tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bagaimanapun belum bersetuju dengan angka tersebut dan menegaskan akan meneliti masalah tersebut sebaiknya termasuk daripada segi pengurangan kos.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memastikan dana yang akan disalurkan itu boleh menyelesaikan masalah bekalan air akibat kebocoran paip utama.

“Kita bina loji macam mana pun, kalau bocor, dia tak akan sampai kepada pengguna atau banyak yang bocor tak sampai kepada pengguna.

“Kita nak kurangkan kehilangan kadar NRW (Non Revenue Water) atau air tidak terhasil di Kelantan,” katanya.

Dalam masa sama, Nik Nazmi memberitahu, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Kelantan dan Sabah sudah menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di dua negeri itu.

“Sekarang kita ada pasukan air, kita sedang bincang tentang perkara tersebut. Kita tengah (perbincangan) macam mesyuarat awal yang dipengerusikan oleh PM.

“Kedua-dua kerajaan negeri telah memaklumkan wish list dan apa yang mereka perlu,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan mematuhi kerangka perundangan sebelum masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah dapat ditangani dengan berkesan.

“Kita kena patuhi sama ada di peringkat Persekutuan di Semenanjung, kita terikat dengan Wasia di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

“Kalau di peringkat Sabah sebenarnya di bawah kuasa Kerajaan Negeri Sabah tetapi Perdana Menteri tekankan kita ada tanggungjawab sebagai satu kerajaan pusat untuk membantu Sabah juga, itu sedang berjalan.

“Kita lihat bagaimana cara terbaik, apa projek yang jadi keutamaan kita boleh buat untuk menyelesaikan secara tuntas masalah air di kedua-dua negeri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo