Bekas ketua UMNO bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang mempersoal keterbukaan UMNO untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.
Beliau turut menegaskan kewajaran terhadap ahli yang dikenakan tindakan disiplin tanpa mengikut prosedur namun kini perlu membuat rayuan.
“Kenapa perlu buat rayuan jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut prosedur? Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin parti sebelum digantung.
“Saya menjadi ahli UMNO dan aktif semenjak umur saya 17 tahun dan amat menyayangi parti UMNO yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara,” katanya, lapor Sinar Harian.
Semalam, Zahid dilaporkan berkata, parti itu UMNO sedia untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.
Bekas ADUN Tiram itu berkata, beliau juga tidak pernah mengkhianati atau melakukan sabotaj parti malah bertungkus lumus untuk memenangkan parti dalam setiap pilihan raya.
Awal tahun ini, Maulizan bersama tiga lagi pemimpin UMNO digantung keahlian selama enam tahun.
Mereka ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.
Sementara, bekas pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti sewaktu kempen PRU-15.
Dalam pada itu Maulizan berkata, kebanyakan nama besar yang dipecat dan digantung adalah kerana tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Pemecatan serta penggantungan adalah untuk membolehkan Presiden UMNO menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) untuk menyokong hasrat presiden.
“Bagaimanapun, isu pokok yang melanda UMNO masa kini ialah soal kepimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti ahli UMNO serta orang Melayu ekoran keputusan keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak mereka,” katanya.
Selain itu Maulizan menyifatkan sebilangan besar orang Melayu tidak boleh menerima kehadiran DAP namun kini kepimpinan UMNO kelihatan begitu gembira menjadi penumpang dalam kerajaan yang diterjui PKR-DAP itu.
“Sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 apatah lagi perjuangan menuntut hak kesamarataan yang masih didokong hingga sekarang.
“Saranan Pemuda UMNO juga ditolak mentah mentah oleh presiden kerana beliau seolah olah menjadi jurucakap DAP,” katanya.
Beliau turut melahirkan kesedihannya melihat parti yang disanjungnya sejak muda lagi sudah berubah.
“UMNO di bawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu. Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar.
“Amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment