NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa DAP melatah isu pemilikan tanah P Pinang?

APOLOGETIK DAP yang melompat melatah terhadap isu pemilikan tanah di Pulau Pinang, seolah-olah memberitahu bahawa mereka terlibat langsung dengan situasi tersebut. Sedangkan kandungan dimuat naik di media sosial PAS itu langsung tidak menyebut parti tersebut.

Kegelisahan direaksikan DAP itu mungkin mewakili bidalan ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’? Walhal semua data dan fakta dikemukakan dalam status muat naik tersebut berupa peringatan khususnya kepada kaum Melayu agar tidak sewenang-wenangnya menjual tanah.

Penjajahan bumi Palestin oleh Yahudi Zionis berpunca awal dari jual-beli pemilikan tanah yang dinyatakan artikel ringkas itu adalah contoh dan pengajaran termasyhur serta bukti sejarah paling diketahui oleh segenap lapisan masyarakat dunia; ‘bangkai gajah’ ini mustahil ditutup.

Malah, terdapat begitu banyak kajian penyelidikan institusi dan akademik yang sama selari dengan pernyataan dikemukakan tersebut. Bahkan mereka juga tidak terlepas memetik pengajaran serupa yang berlaku di Palestin itu sebagai rujukan nyata dan wacana semasa.

Sejak bila memberi nasihat dan waspada untuk mempertahankan diri dan hak dari unsur muslihat, pemerdayaan, penindasan dan pencerobohan menjadi satu kesalahan? Sejak bila memperjuangkan kepentingan awam dan kemanusiaan seperti itu diheretkan sebagai sikap perkauman dan agama yang sempit? 

Apakah kecaman DAP terhadap pernyataan tersebut, sebagai satu bentuk penafian atau cubaan menutup perbuatan seumpama yang mereka lakukan di Pulau Pinang? Ibarat pencuri yang menjerit ‘pencuri’ di khalayak ramai untuk melepaskan dirinya dari tertangkap?

Atau seperti orang yang gigih melabel pihak lain kleptokrat dan perompak serta mengamalkan rasuah, tetapi dia juga menyakau dan menyalahguna kuasa? Atau berkawan mesra dan cuba saling mensucikan setiap penjahat dan kejahatannya tanpa dibersihkan menerusi proses mahkamah?

Hakikatnya DAP telah mencipta tuduhan dangkal lagi jahat dan mengulangi perangai melampau dengan menyentuh sensitiviti dan meletuskan provokasi. Melayu ‘tidak mudah lupa’ bahawa hampir setiap ucapan dan tindakan DAP seringkali menggugat dan mengancam.

Selama ini tonggak, maruah dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air ini bukan sahaja dipertikai, tetapi juga sering diperlekeh dan pernah dihina oleh DAP. Malanglah, mereka yang bersekedudukan dengan parti cauvinis itu apatah lagi menjadi alat dipergunakan DAP.

Hari ini gerakan politik DAP di Pulau Pinang sebenarnya berselindung di sebalik pembangunan dibawa yang mana merupakan satu bentuk perbandaran kolonial dan penghapusan kaum. Jangan menyangka bahawa PAS naif atau tidak mengerti percaturan yang DAP mainkan.

Secara khusus, Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat dipengerusikan YB Dato’ Haji Ahmad Amzad Hashim dan dianggotai pelbagai kepakaran bidang-bidang berkaitan begitu memantau helah DAP dalam perkara-perkara tersebut.

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha
PAS Negeri Pulau Pinang
Timbalan Pengerusi
Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo