NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kaji semula cadangan mansuh peruntukan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan

Gambar fail - Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji semula cadangan memansuhkan suatu peruntukan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan yang terpakai bagi kedudukan kanak-kanak terpinggir atau terbuang. 

Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata sebagai pemimpin yang pernah 'dekat' dengan kanak-kanak, pihaknya bimbang jika peruntukan itu benar-benar dimansuhkan, maka golongan itu yang ditemui dan dianggap terpinggir atau terbuang, tidak dibenarkan mendapat hak kewarganegaraan sekali gus tiada lagi perlindungan buat mereka.

Katanya, atas dasar itu, pihaknya mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memastikan matlamat asal pindaan peruntukan itu dapat mengangkat prinsip keadilan dan ihsan berkenaan kewarganegaraan kanak-kanak ini.

"Jika kumpulan kanak-kanak terpinggir atau terbuang ini tidak dibenarkan hak kewarganegaraan, saya melihat implikasi kemudharatan lebih besar boleh timbul antaranya penafian hak asasi manusia ke atas mereka, yang tidak mencerminkan ihsan.

"Selain itu, masalah pekerjaan dan penjanaan pendapatan juga boleh berlaku kerana terhalang dengan pendidikan terhad serta masalah sosial boleh menjejaskan kesejahteraan hidup masyarakat yang timbul dari kekecewaan serta persekitaraan kanak-kanak ini semasa membesar. 

"Letakkanlah kemaslahatan dan kesejahteraan kanak-kanak ini sebagai keutamaan dalam mencadangkan pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan yang sedang diusahakan kerana siapapun golongan itu, mereka adalah aset masa depan negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shahrizat berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat pemegang taruh beberapa hari lalu yang sudah berbincang dengan kerajaan berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.

Berdasarkan kenyataan mereka itu, kerajaan berkemungkinan mencadangkan pemansuhan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembangaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b) yang menyatakan 'tiap-tiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir, tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan ini'. 

Februari lalu, Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak kepada wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara. 

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, peruntukan itu adalah untuk memastikan kumpulan kanak-kanak ini mendapat akses kepada hak asasi termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal. 

Selain itu, katanya, peruntukan itu juga adalah satu bentuk perlindungan kepada kanak-kanak yang tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan atas keadaan yang menimpa mereka. 

"Pengalaman saya bertahun lamanya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mengajar saya bahawa menghapuskan perlindungan yang sedia ada terhadap kanak-kanak yang terpinggir dan terbuang ini, hanya akan mewujudkan pelbagai keperluan baharu. 

"Ia juga meningkatkan lagi cabaran asas yang dihadapi pihak bertanggungjawab untuk mengurangkan jurang ketidakadilan dalam kelas masyarakat. 

"Dalam Islam, kita percaya anak dikurniakan Allah SWT sebagai amanah yang wajib dijaga. Apabila ibu bapa tidak dapat menjalankan amanah itu, maka negara ini berkewajipan untuk memikul tanggungjawab terhadap anak itu," katanya. 

Shahrizat berkata kewajipan melindungi golongan itu dimeterai dalam Konvensyen PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) `berkenaan Hak Kanak-Kanak yang mana Malaysia salah satu negara yang menandatanganinya.


Sumber I BH Online




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo