Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN) agar tidak menggunakan aset kerajaan dalam berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya, semua pihak perlu menggunakan kapasiti dan kekuatan sendiri tanpa perlu menyalahgunakan aset kerajaan sepanjang berkempen.
“Bertanding secara anak jantan, jangan cakap lain buat lain. Jangan guna harta kerajaan untuk kempen, jangan guna dana kerajaan untuk kempen, jangan guna agensi kerajaan untuk kempen dan jangan guna jabatan kerajaan untuk kempen.
“Saya sudah mohon Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah menggariskan perkara-perkara yang boleh dilaksanakan sepanjang menjadi kerajaan interim (selepas DUN bubar) dan kita arahkan semua Exco pulangkan kenderaan rasmi pada hari pembubaran kerana mahu sepanjang mereka berkempen tidak guna harta kerajaan.
“Kalau ada lori yang dibeli sebagai harta kerajaan parking dahulu. Selepas itu (kalau menang) dilantik jadi Exco ambillah semula,” katanya lapor Utusan pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Alor Setar, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menzahirkan harapan sama agar parti-parti lain yang akan bertanding pada PRN tersebut memastikan prinsip demokrasi benar-benar diamalkan.
Muhammad Sanusi berkata beliau akan mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah Ahad ini untuk memohon perkenan membubarkan DUN Kedah.
“Saya akan umum tarikh (bubar) selepas Tuanku perkenan. Ada orang umum sebelum Tuanku perkenan, tak boleh begitu. Cuma saya cadang kita mengadap 25 Jun untuk nak cadang tarikh bubar (28 Jun), kalau Tuanku perkenan saya akan umumkan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan ada penyandang yang menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRN kali ini.
“Ada penyandang menyatakan hasrat tidak mahu bertanding lagi termasuk calon-calon dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS kerana orang PAS ini tawaduk, tak boleh tawar diri.
“Jadi kalau tidak dipilih tidak datang beban. Ada juga calon-calon Bersatu yang sudah menjadi ahli Parlimen pun kata tak mahu bertanding DUN agar dapat memberi laluan kepada orang lain,” katanya.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment