Syed Saddiq menyindir wakil rakyat yang sebelum ini lantang memperjuangkan isu berkenaan semasa di blok pembangkang namun membisu sebaik menjadi kerajaan. Gambar Sumberkini |
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi bertegas akan terus bersuara berkait isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) walau diancam oleh pihak tertentu.
Presiden MUDA itu mengingatkan barisan wakil rakyat kerajaan kepentingan isu itu kerana melibatkan berbilion ringgit wang rakyat.
“Jangan kita lupa suara rakyat, keresahan rakyat apabila kita menduduki takhta kuasa. Jangan ubah nada kita bila dalam pembangkang dan bila kita dalam kerajaan. Rakyat akan ingat. Rakyat akan tuntut kita bertanggungjawab.
“Saya akan terus menyuarakan isu ini. Saya tidak akan berdiam diri, nak ugut, ugutlah kerana saya percaya ini isu yang sangat mustahak yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat. Sampai hari ini belum ada satu kapal pun yang telah siap. Saya akan terus bersuara dan menjadi suara rakyat,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyindir wakil rakyat yang sebelum ini lantang memperjuangkan isu berkenaan semasa di blok pembangkang namun membisu sebaik menjadi kerajaan.
Bekas menteri belia dan sukan itu turut mendakwa ada individu yang sebelum ini lantang dalam memperjuangkan isu LCS, namun kini tiba-tiba mengancam untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana membangkitkan isu itu di Parlimen.
“Yang pelik dan ajaibnya, orang sama yang tuntut perkara ini, kini ingin mengambil tindakan ke atas saya kerana membangkitkan isu LCS.
“Orang sama berkempen mengatakan bahawa LCS ini lebih teruk daripada rasuah dan penyelewengannya daripada 1MDB, orang sama yang tidak tunggu pun perbahasan siasatan dilaksanakan.
“Saya tidak kata pun perkara ini (humban dalam penjara), (tetapi) yang saya mohon proses yang betul kita adakan perbahasan di Parlimen dan isu sama yang dituntut sebelum pilihan raya. Saya berani kerana benar, ini isu kepentingan rakyat,” katanya.
Menyentuh soal teguran Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum ini, Syed Saddiq menyifatkan Johari tidak bersikap adil terhadap alasan penolakan usul tergempar berkenaan LCS itu.
“Saya sudah kongsikan mengapa ini berkepentingan orang ramai dan mengapa ia perlu disegerakan kerana dalam tempoh satu minggu, kos LCS dinaikkan tambahan sebanyak RM2.2 bilion dan jumlah kapal dikurangkan dalam tempoh satu minggu.
“Itu mengapa ia perlu disegerakan dan mengapa ini adalah isu berkepentingan orang ramai. Saya rasa semua orang tahu dan bersetuju kerana ini melibatkan RM11.2 bilion duit rakyat serta projek ditangguh berkali-kali termasuk tiada tangkapan besar,” katanya.
Sebelum ini, pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Kontrak projek itu diberikan kerajaan kepada BNS untuk membina lima LCS namun PAC sebelum ini mendapati kajian daya maju kerajaan terhadap syarikat itu gagal mengesan masalah kewangan syarikat terbabit.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil alih BNS supaya projek berkenaan dapat diselesaikan.
Katanya, ia berikutan kerajaan telah membelanjakan RM6 bilion bagi projek LCS namun sehingga hari ini belum ada satu kapal yang berjaya disiapkan untuk digunakan pihak keselamatan negara.
Sumber I Agenda Daily
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment